My Add

Wednesday 1 February 2012

Lokasi ajaran sesat dikenal pasti

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan giat mengenal pasti beberapa lokasi kumpulan ajaran sesat yang mengeksploitasikan pelajar dan anak yatim untuk mengutip derma bagi menyelamatkan golongan tersebut daripada dipergunakan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan ke atas lokasi berkenaan yang dipercayai menjadi pusat transit dan pejabat pentadbiran kumpulan tersebut.

“Untuk itu, kami bekerjasama dengan Jabatan Agama negeri serta agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh itu.

“Modus operandi yang digunakan kumpulan berkenaan tetap sama iaitu mempergunakan kanak-kanak lingkungan umur 10 hingga 18 tahun bagi tujuan mengutip dana meneruskan aktiviti ajaran sesat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meminta pelbagai pihak melakukan tindakan bersepadu bagi menangani isu eksploitasi anak yatim dan pelajar pusat tahfiz tidak berdaftar dalam aktiviti mengutip derma demi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan berkesan.

Menurutnya, setakat ini, tindakan bersepadu yang dijalankan pihaknya dengan agensi penguat kuasa lain berjaya membuahkan hasil apabila beberapa siri penangkapan dapat dilakukan.

“Pada 31 Disember lalu, seramai lima orang daripada kumpulan ajaran sesat berkenaan berjaya ditangkap dan 83 remaja berjaya ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan.

“Mereka yang ditangkap boleh disabit kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah iaitu mengamalkan ajaran yang menyalahi fatwa atau doktrin palsu atau Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 yang membenarkan kanak-kanak berada di jalanan, premis atau mana-mana tempat untuk tujuan meminta sedekah,” katanya.

Tambah Othman, pihaknya merangka enam strategi bagi mengatasi isu berkenaan terutama dalam menyelamatkan kanak-kanak daripada dipergunakan.

“Antara strategi berkenaan ialah melaksanakan pemantauan dan pengawalan yang kerap ke sekolah agama, tahfiz dan anak yatim.

“Selain itu, Jakim turut mengeluarkan larangan ke atas kanak-kanak atau pelajar di tempat berkenaan daripada melakukan sebarang aktiviti mengutip derma atau jika disabitkan kesalahan, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment