My Add

Wednesday, 1 February 2012

Impian gadis kanser tulang jadi anggota polis tercapai

RAIHANA Batturul Saman menerima cenderamata daripada Arjunaidi Mohamed ketika membuat lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Impian seorang gadis yang menderita penyakit kanser tulang untuk menjadi seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) walau untuk sehari, akhirnya terlaksana apabila dia diberi peluang tersebut semalam.

Raihana Batturul Saman, 14, yang disahkan menderita penyakit kanser peringkat akhir itu hanya mampu meluahkan rasa gembira dan teruja atas peluang diberikan pucuk pimpinan PDRM.

Walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda, gadis tabah itu yang tersenyum girang, tidak sedikit pun menunjukkan tanda dia sedang menderita.

Dalam tempoh singkat itu, Raihana mendapat layanan istimewa seperti orang kenamaan (VIP) dengan diberi taklimat khas berhubung cabaran dan rutin kerja seorang anggota polis wanita.

Taklimat disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, dekat sini.

Saat-saat terindah gadis itu yang mengenakan uniform polis Sang Saka Biru berwarna biru gelap, turut dikongsi bersama hadirin yang hadir termasuk wakil media.

Gadis itu bagaimanapun tidak dibenarkan untuk ditemu bual kerana bimbang mengganggu emosinya.

Pengerusi Make A Wish Yayasan Malaysia, Syarifah Farah Gumash Syed Hussain berkata, hari ini merupakan detik paling bermakna buat Raihana.

“Malah sejak pagi tadi, Raihana tidak berhenti tersenyum malah ibunya turut menangis kegembiraan melihat senyuman yang mungkin tidak akan dilupakan dalam sejarah hidupnya,” katanya.

Syarifah Farah berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai derita yang dialami Raihana selepas dimaklumkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

“Doktor maklumkan dia boleh ‘pergi’ bila-bila masa sahaja, jadi usaha untuk merealisasikan impiannya dilakukan segera.

“Raihana amat menyukai drama bersiri Gerak Khas dan kadang-kadang meniru skrip yang dibacakan pelakon menggunakan walkie talkie,” katanya.

Difahamkan, Raihana pertama kali didiagnosis tahun lalu selepas dia terjatuh yang menyebabkan kakinya cedera. Pemeriksaan pakar perubatan kemudian mendedahkan dia menderita penyakit kanser sebelum dia diberi pelbagai rawatan termasuk kemoterapi.

Bagaimanapun, enam bulan lalu, keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum pakar perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memaklumkan harapannya untuk hidup semakin tipis.

Dalam program bagi merealisasikan impian Raihana itu, gadis tersebut telah diberi peluang menaiki kereta peronda polis dengan dibunyikan siren ke Muzium PDRM seterusnya ke Pangkalan Udara PDRM, Sungai Besi di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment