KUALA LUMPUR 31 Jan. - Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan (HWP) 2012 esok, warga kota mengharapkan kerajaan meneliti beberapa perkara untuk menjadikan kehidupan di Kuala Lumpur khususnya lebih selesa untuk penduduknya.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Kuala Lumpur hari ini telah menjadi sebuah bandar raya yang pesat membangun dan terkenal di seluruh dunia, namun beberapa perkara juga harus diberi perhatian serius.
Katanya, antara perkara itu ialah yang berkaitan dengan alam sekitar di mana usaha menanam pokok bagi menghijaukan Kuala Lumpur perlu dipertingkatkan lagi.
"Di samping itu, harus juga diperbanyakkan taman-taman awam di Kuala Lumpur untuk warganya beriadah, manakala taman sedia ada harus diberi penambahbaikan," katanya.
Selain itu, beliau juga mengingatkan mengenai isu kesesakan lalu lintas yang menurutnya harus difikirkan kaedah yang sesuai dalam menanganinya.
Lam Thye juga menyeru agar warga kota sentiasa menjaga kebersihan dan jangan terlalu bergantung kepada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah ini.
Tambahnya lagi, sempena sambutan Hari Wilayah kali ini, beliau berharap suatu hari nanti Kuala Lumpur akan menjadi sebuah bandar raya mega yang berupaya menyediakan segala kemudahan kepada penduduk.
Sementara itu, Ketua Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Cawangan Setapak/Genting Kelang, Ahmad Selamat berkata, pihaknya berharap sektor perniagaan kecil dipermodenkan supaya menjadi tarikan pelancong.
Katanya, banyak kawasan di Kuala Lumpur mempunyai ruang yang sesuai untuk peniaga kecil tetapi perlu dinaik taraf terlebih dahulu.
Beliau turut berharap agar kebajikan para penjaja kecil dijaga agar tidak tersepit dalam pemodenan Kuala Lumpur.
"Penjaja kecil juga adalah aset negara dari segi pertumbuhan ekonomi. Jadi kebajikan mereka harus sentiasa diberi perhatian serius," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment