My Add

Wednesday, 1 February 2012

Subang depot UNHRD terbesar dunia

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini bakal menjadi Depot Tindak Balas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbesar di dunia apabila siap dibina beberapa tahun lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, depot berkenaan juga merupakan yang pertama di Asia selepas Itali untuk bantuan meliputi Eropah dan Afrika Utara, Emiriah Arab Bersatu (Timur Tengah dan Afrika Timur), Ghana (Afrika Barat) dan Panama (Amerika Latin dan kepulauan Caribbean).

Selepas siap dibina, Subang katanya, akan menjadi pangkalan untuk semua misi kemanusiaan di bawah Program Makanan Sedunia (WFP) merangkumi kawasan bencana bagi hampir keseluruhan Asia.

"Pembangunan depot ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Malaysia yang bersetuju untuk membina pejabat, gudang dan pusat latihan bagi memudahkan misi UNHRD dilaksanakan sekiranya negara-negara di rantau ini dilanda sebarang krisis.

"Depot ini merupakan depot UNHRD yang terbesar di dunia. Pembinaannya berjalan mengikut jadual dan dijangka siap lebih awal berbanding depot-depot UNHRD yang turut dibina di rantau lain. Ini jelas menunjukkan usaha serius kerajaan bagi menyokong program kemanusiaan PBB," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat perkembangan pembinaan depot tersebut di Pangkalan Udara TUDM Subang dekat sini, semalam.

Pemilihan Subang sebagai depot UNHRD dimeterai melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar ketika itu iaitu Tan Sri Rastam Mohd. Isa dengan wakil WFP, Amir Abdulla pada Februari 2010.

Ahmad Zahid menambah, Subang dipilih kerana kedudukan strategik di samping kemudahan infrastruktur sedia ada yang memudahkan bantuan disalur ke negara yang memerlukan.

Katanya, idea penubuhan depot secara tetap di Subang bermula selepas berlakunya tsunami di beberapa negara Asia Tenggara dan Asia Selatan pada 2004 dengan menyaksikan Pangkalan Udara TUDM Subang ketika itu menjadi transit kepada pesawat pengangkut dari WFP atau negara-negara yang menghulurkan sumbangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment