My Add

Wednesday 1 February 2012

Ulama tidak lagi dominasi Pas

KUALA LUMPUR, RABU, 01 Februari, 2012: Golongan ulama tidak lagi menjadi kumpulan paling berpengaruh dalam Pas sejak parti itu dikuasai pemimpin yang lebih mengutamakan misi menumbangkan kerajaan daripada agenda mempertahankan agama.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein, keadaan itu amat mengecewakan kerana perjuangan asal Pas iaitu mempertahankan kesucian dan kepentingan Islam telah berubah selepas parti itu tidak lagi didominasi oleh ulama.

Hakikatnya, kata beliau, perjuangan Pas benar-benar telah berubah dan ia diburukkan lagi dengan sikap parti itu yang mengikut telunjuk DAP dan PKR walaupun terpaksa mengorbankan perjuangan asal parti berkenaan.

''Berdasarkan pengamatan saya, kumpulan ini yang dianggap parasit oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali. Kumpulan ini berjaya menyisihkan peranan ulama sehingga suara dan pengaruh mereka di dalam Pas menjadi begitu kecil.

''Secara peribadi saya begitu kecewa dengan apa yang berlaku kerana Pas yang ditubuhkan pada awal 50-an sehingga 90-an dipimpin oleh golongan ulama yang ikhlas mempertahan dan memperjuangkan Islam antaranya Ahmad Fuad Hassan, Zulkifli Mohamad dan Datuk Fadzil Noor,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. 

Beliau mengulas situasi terkini dalam Pas apabila parti itu dipercayai sedang berhadapan dengan konflik ekoran berlakunya pertembungan antara ulama dan golongan bukan ulama yang sebahagian besar terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara perkembangan terbaru ialah mengenai hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menarik diri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sebelum ini Pas turut dilanda satu kontroversi apabila Jawatankuasa Pusatnya tanpa mengikut prosedur telah membuat keputusan memecat keahlian Hasan kerana Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia itu dikatakan telah melakukan perbuatan melanggar perlembagaan parti.

Dalam perkembangan berkaitan Muhammad Yusoff berkata, hasrat Abdul Hadi menarik diri daripada bertanding PRU-13 boleh dikaitkan dengan konflik yang berlaku di dalam Pas.

''Realitinya, perjuangan Pas telah menyimpang daripada asal dan saya percaya ini adalah hasil gerakan kumpulan generasi muda yang begitu bersungguh-sungguh untuk berkuasa bersama dengan DAP dan PKR.

''Mereka tidak kira untuk bersahabat dengan sesiapa asalkan dapat menjadi pemerintah. Perjuangan mempertahankan Islam bukan lagi agenda utama Pas sebaliknya keutamaan mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan sedia ada,'' katanya lagi.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, Pas berubah sejak sebahagian besar ulama tewas di tangan golongan liberal dalam pemilihan parti itu pada tahun 2011.

Beliau berkata, ekoran perubahan itu tidak hairan perjuangan Pas telah beralih daripada perjuangan Islam kepada perjuangan untuk menjadi pemerintah.

''Sebab itu kita jangan hairan jika perjuangan akidah pun mereka tidak mahu sambut. Pas sekarang bukannya seperti Pas dahulu. Dahulu mereka juga menjaga kepentingan Islam kerana pada masa itu golongan ulama menguasai Pas.

''Namun sekarang tidak lagi. Selepas Pas dikuasai oleh golongan yang lebih liberal mereka nampaknya tidak ada masalah untuk bersekongkol dengan DAP dan PKR. Kepentingan politik melebihi daripada segala-galanya,'' katanya.


No comments:

Post a Comment