My Add

Sunday 12 February 2012

1 Care: Kerajaan nafi wajib beri sumbangan 10%

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Kementerian Kesihatan menafikan khabar angin yang mendakwa kononnya pekerja dan syarikat perniagaan akan diwajibkan menyumbang sebanyak 10 peratus daripada pendapatan masing-masing bagi menjayakan skim penstrukturan semula sistem penjagaan kesihatan, '1 Care'.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dakwaan itu tidak tepat dan ia dimanipulasikan pihak tidak bertanggungjawab kerana skim itu masih berada dalam proses perbincangan.

"Skim itu masih dalam proses pramatang dan ia merupakan satu cadangan bagi meningkatkan lagi pelan kesihatan negara yang sedia ada ekoran permintaan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat.

"Pihak kementerian diberi tempoh selama dua tahun dari sekarang bagi menyiapkan 'blueprint' 1 Care itu dan dijangka lengkap hujung tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kesihatan Rakyat Parlimen Gombak di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden K Club Worldwide Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Kelab Veteran Utusan Melayu, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gombak, Datuk Dr. Rahman Ismail.

Beliau diminta mengulas laporan dalam blog mengenai kemarahan orang awam berikutan kononnya terdapat pendedahan golongan profesional yang terlibat dalam perbincangan dengan kerajaan berhubung pelaksanaan 1 Care sejak tiga tahun lalu.

Laporan itu mendakwa kakitangan kerajaan, pesara serta syarikat perniagaan wajib menyumbang sebanyak 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk disalurkan kepada agensi kerajaan, Skim Insurans Kesihatan Sosial (SHI) yang menguruskan 1 Care.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman memberitahu kertas cadangan 1 Care masih di peringkat perbincangan dan kerajaan berhak menolak skim itu sekiranya tidak sesuai dengan kehendak rakyat Malaysia.

Tegas Tiong Lai, dakwaan pihak tidak bertanggungjawab itu tidak tepat langsung kerana cadangan atau keputusan berkaitan skim tersebut perlu melaluinya terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

"Saya belum boleh mendedahkan maklumat skim itu kerana ia masih dalam proses perbincangan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada badan profesional," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment