My Add

Sunday 12 February 2012

Istiadat tukar pengawal Istana Negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Istiadat pertukaran pengawal istana berlangsung buat julung kalinya di Istana Negara Jalan Duta di sini, sejak berpindah dari kompleks lamanya di Jalan Istana pertengahan Oktober lalu.

Istiadat yang melibatkan lapan pegawai dan 84 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) itu bermula pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira setengah jam kemudian.

Istiadat dimulakan dengan perarakan keluar empat pegawai dan 42 anggota pengawal mewakili pasukan lama sebelum disusuli pasukan baru dengan jumlah pegawai dan anggota yang sama.

Selepas kedua-dua pasukan mengambil tempat menghadap antara satu sama lain, upacara penyerahan panji-panji bermula disertai beberapa pergerakan yang dilakukan kedua-dua pasukan penuh berdisiplin.

Majlis penuh adat ketenteraan yang diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD itu disaksikan oleh Pegawai Memerintah 1 RAMD, Leftenan Kolonel Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Tengku Muhammad Fauzi turut memberi tabik hormat kepada panji yang menjadi simbolik kepada majlis serah terima tugas tersebut.

Istiadat yang diadakan setiap bulan itu turut menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara yang tidak mahu melepaskan peluang merakam foto kenangan berlatar belakang majlis istiadat dan bangunan istana.

Menurut Tengku Muhammad Fauzi, istiadat pertama diadakan pada 1987 itu turut dibantu oleh Platun Tambor, Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (RRD).

"Kita bercadang menambah baik majlis istiadat ini pada masa akan datang dengan membabitkan penyertaan daripada Unit Berkuda yang turut mengawal istana," katanya kepada pemberita sejurus tamat istiadat tersebut di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment