My Add

Sunday 12 February 2012

Loji air bukan punca AGE - Tiong Lai

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Kementerian Kesihatan hari ini memberitahu siasatan awal penularan wabak penyakit 'Acute Gastroenteritis' (AGE) sehingga menyebabkan dua kes kematian di Perak baru-baru ini bukan berpunca daripada air loji tercemar.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini kerana penularan penyakit yang berpunca daripada virus 'Rotavirus' itu hanya berlaku di dua daerah di negeri tersebut iaitu Batang Padang dan Hilir Perak.

"Kita percaya ia berpunca daripada penyakit bawaan air yang tercemar, namun bukan disebabkan loji air di negeri itu,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kesihatan rakyat peringkat Parlimen Gombak di sini hari ini.

Hadir sama Presiden K Club Worldwide Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Kelab Veteran Utusan Melayu, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gombak, Datuk Dr. Rahman Ismail.

Tiong Lai berkata, sehubungan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menyiasat punca sebenar penularan wabak tersebut.

Beliau turut meminta semua pihak tidak membuat spekulasi sehingga siasatan menyeluruh diselesaikan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak merebaknya virus berkenaan ke tahap yang lebih serius kerana pencegahan awal sangat penting.

"Orang ramai perlu memastikan air yang mereka minum dimasak terlebih dahulu. Sekiranya diri atau ahli keluarga mengalami tanda-tanda seperti muntah, loya, pening kepala, demam panas dan cirit-birit segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran," katanya.

Semalam, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon memberitahu, pihaknya menerima beberapa kes berkenaan wabak cirit birit melibatkan daerah Batang Padang dan Hilir Perak.

Kes maut pertama membabitkan penyakit itu dilaporkan berlaku di Batang Padang, Perak pada 25 Januari lalu dan pada 27 Januari satu kes lagi dilaporkan di daerah Batang Hilir negeri berkenaan - UTUSAN

No comments:

Post a Comment