My Add

Thursday 16 February 2012

Industri binaan raih projek RM86b luar negara

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan Anugerah Terbaik Kontraktor Sepanjang Tahun kepada Pengerusi Eksekutif Trans Resources Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Sufri Mohd. Zin pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2011 di KLCC, malam tadi. Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Februari, 2012: Pemain industri pembinaan tempatan telah menunjukkan pencapaian cemerlang apabila berjaya meraih dan melunaskan 687 projek bernilai RM86 bilion di luar negara sepanjang 2000 hingga tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ekoran pencapaian membanggakan itu, pemain industri berkenaan perlu melipatgandakan usaha dan mengambil peluang penglibatan dalam beberapa Projek Permulaan (EPP) untuk membina reputasi di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), permintaan bagi perkhidmatan pembinaan dilihat akan terus berkembang dan meningkat ke paras lebih tinggi.

"Justeru, prospek bagi industri pembinaan amat cerah kerana kebanyakan EPP akan dimulakan pada tahun ini. Sehingga November tahun lalu, sebanyak 55 peratus atau 72 daripada 131 EPP telah dimulakan dengan jumlah komitmen pelaburan yang dipersetujui sebanyak RM177.1 bilion serta unjuran Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM237.23 bilion.

"EPP yang akan dilaksanakan ini akan memberi banyak manfaat kepada penggiat industri pembinaan serta rakyat secara keseluruhannya. Ia melibatkan pelaksanaan serta pelaburan jangka masa panjang.

"Oleh yang demikian, bagi menjamin pelaksanaan projek-projek itu berjalan lancar dan sempurna, adalah penting kerajaan hari ini terus diberi mandat agar polisi dan komitmen sedia ada akan diteruskan demi pembangunan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, bagi memanfaatkan semua peluang yang terhasil daripada EPP serta projek-projek lain, syarikat pembinaan disaran supaya lebih fokus, berdaya maju, berinovasi serta tekad untuk mencapai kecemerlangan secara menyeluruh.

Ujarnya, kecemerlangan dalam pembinaan bermakna keunggulan dari segi produktiviti, inovasi, keselamatan, kemapanan, kualiti dan integriti.

Katanya, pengalaman dari negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia dan Jepun menunjukkan peningkatan tahap produktiviti boleh dicapai dengan ketara melalui mekanisme dan automasi pembinaan serta penggunaan teknologi termaju.

"Semuanya itu merupakan teknik yang wajar digunapakai bagi mencapai tahap kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi. Bagi mencapai prestasi cemerlang dalam aktiviti pembinaan, saya menyeru kepada semua penggiat industri supaya mempelajari serta menterjemahkan penemuan dan teknologi terbaru dalam industri.

"Kerana bagi saya, jalan ini sahaja merupakan survival dalam cabaran globalisasi masa kini. Di China umpamanya, bangunan hotel setinggi 30 tingkat dapat disiapkan dalam masa 15 hari. Begitulah canggihnya teknologi pembinaan masa kini,'' tegasnya.

Jelas beliau, kerajaan sejak beberapa dekad lalu sememangnya menumpukan kepada pembangunan fizikal yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan.

"Kerajaan akan terus memastikan penglibatan berterusan dari penggiat industri pembinaan serta membuka peluang-peluang untuk mereka dalam agenda pembangunan negara.

"Oleh itu, pada masa ini terdapat banyak syarikat pembinaan yang berkemampuan serta berkapasiti untuk melaksanakan projek-projek bukan sahaja di dalam tetapi luar negara.

"Ke arah itu, kerajaan melalui agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan terus melaksanakan program-program peningkatan kapasiti seperti latihan industri, meluaskan jaringan bisnes binaan, menambahbaik proses pembinaan serta mempromosi teknologi pembinaan terkini,'' tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment