My Add

Monday 20 February 2012

10,000 kunjungi fiesta pancing udang antarabangsa Sg. Perak

TELUK INTAN, AHAD, 19 Februari, 2012: Fiesta Memancing Udang Antarabangsa Sungai Perak di sini yang berakhir hari ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Selain itu, fiesta selama dua hari itu berjaya memperkenalkan perairan Sungai Perak di sini sebagai destinasi memancing udang terbaik di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, penduduk tempatan juga melahirkan rasa teruja kerana ini merupakan program terbesar pernah diadakan di sini.

"Selain pertandingan memancing udang, pertandingan bot laju, bot berhias, sketsa, karaoke, gubahan, masakan udang galah, mewarna dan persembahan kugiran juga diadakan sepanjang dua hari program berlangsung.

"Fiesta ini diharap dapat menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke Teluk Intan, terutamanya untuk memancing udang," katanya semasa melancarkan Fiesta Memancing Udang Antarabangsa Sungai Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, kerajaan negeri menggerakkan pelbagai program transformasi bagi mengangkat martabat industri desa di kawasan ini.

"Antaranya produk dari kebun nanas terkenal di Kampung Selabak, kebun keladi yang masyhur di Kampung Air Hitam, minyak kelapa dara dari Bagan Datoh dan ikan masin serta udang galah di Teluk Intan," katanya.

Beliau memberitahu, Kementerian Pelancongan meluluskan peruntukan RM10 juta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi menaik taraf Menara Condong hingga ke tebing Sungai Perak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment