My Add

Monday 20 February 2012

Pegawai UNPOL, Benet Pawun disemadikan

SERIAN, AHAD, 19 Februari, 2012: Mayat Inspektor Benet Pawun, anggota pasukan Polis Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNPOL) dalam misi pengaman di Timor Leste, disemadikan di sebuah tanah perkuburan Kristian di Kampung Mayang Kawan, di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 orang, termasuk 500 pegawai dan anggota polis, menghadiri upacara pengebumian mendiang di Gereja St Anthony di perkampungan masyarakat Bidayuh itu, dengan diketuai paderi Jerome Juleng.

Benet, 52, meninggal dunia di Timor Leste pada 7 Februari lalu dan punca kematiannya belum diumumkan secara rasmi walaupun laporan akhbar menyebut ia akibat denggi.

Deputi Supritendan Terrence Wilkie Sikuel, pegawai atasan Benet sebelum mendiang ditugaskan dalam misi pengaman itu, menyifatkan Benet sebagai pegawai yang rajin dan sentiasa ceria.

Dalam ucapannya pada upacara itu, Terrence memuji Benet sebagai anggota yang sentiasa tekun dan bersemangat tinggi hingga berjaya menjawat pangkat inspektor di bahagian siasatan jenayah daripada seorang konstabel.

"Ketika bertugas di bawah saya, selalunya mendiang adalah orang paling awal tiba di pejabat dan setiap kali habis bertugas, dia akan memasukkan bajunya dengan kemas sebelum pulang," katanya.

Beliau berkata, Benet seorang pegawai yang bercita-cita tinggi dan beberapa kali menyatakan hasratnya untuk menyertai tugas kepolisan antarabangsa.

"Hajat Benet tercapai apabila mendiang terpilih untuk bertugas di Dili, Timor Leste (pada 13 Oktober tahun lalu) dalam misi pengaman PBB," katanya.

Terrence berkata, kurang seminggu sebelum kematiannya, Benet menghubungi beliau melalui telefon untuk memaklumkan bahawa dia akan bercuti mulai 14 Februari dan pulang ke Kuching.

Pada upacara itu, UNPOL menghulurkan sumbangan RM112,000 kepada balu mendiang, Clare Baor.

Benet dan Clare dikurniakan enam cahaya mata. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment