My Add

Monday 20 February 2012

Mamogram wanita Orang Asli

Oleh ROKIAH ABDULLAH.

CAMERON HIGHLANDS, AHAD, 19 Februari, 2012: Seramai 19,845 wanita Orang Asli berusia 35 tahun ke atas akan menerima subsidi mamogram percuma melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma ) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pemberian subsidi mamogram atau saringan kanser payudara percuma itu dibiayai melalui peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan, khas untuk wanita berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah sebulan.

Sehubungan itu, katanya, peruntukan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 13,259 wanita Orang Asli berusia di antara 35 tahun dan 44 tahun dan 6,586 orang berusia 45 tahun ke atas.

''Apa yang saya lihat hari ini, kebanyakan masyarakat Orang Asli mempunyai ahli keluarga yang besar. Macam mana mahu menjaga ahli keluarga secara berkesan jika ibu menjadi tonggak menguruskan keluarga tidak sihat.

''Statistik terkini juga menunjukkan bilangan mereka yang mendapat kanser payu dara semakin meningkat.

''Justeru, kita lancarkan Kar1sma Keluarga khusus untuk wanita Orang Asli supaya penyakit berkenaan dapat dikesan pada peringkat awal," katanya selepas merasmikan program berkenaan di Kampung Leryer, Pos Menson di sini hari ini.

Shahrizat berkata, LPPKN melalui Klinik Perkhidmatan Bas Bergeraknya akan ke seluruh negara bagi membantu komuniti Orang Asli menjalani saringan mamogram di samping pemeriksaan lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment