My Add

Sunday, 5 February 2012

1Malaysia Corps bakal ditubuh

NAJIB Tun Razak diiringi Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan pelatih PLKN pada majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Khidmat Negara di Felda Chini, Pekan, Pahang, semalam. - BERNAMA

Oleh HERMAN HAMID

PEKAN, AHAD, 05 Februari, 201: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menubuhkan satu angkatan sukarelawan nasional dikenali 1Malaysia Corps yang bakal menghimpunkan belia-belia yang aktif dalam pelbagai badan sukarela di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, 1Malaysia Corps yang akan dilancarkan secara besar-besaran tidak lama lagi itu bakal menjadi satu pasukan sukarelawan hebat yang mampu menjadi sendi kekuatan baru untuk negara.

Jelas beliau, prakarsa lebih besar ini berasaskan kejayaan penubuhan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang berjaya menghimpunkan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk terlibat dalam program kesukarelaan.

"Cuba bayangkan, kalau bekas pelatih PLKN sahaja kita ada 620,000 yang jika dicampur Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia), Rakan Muda dan kumpulan lain yang ingin bergabung dengan 1Malaysia Corps ini, maka kita mampu mewujudkan satu angkatan yang begitu hebat dan unggul.

"Kita anggap (1Malaysia Corps) sebagai sendi kekuatan baru untuk negara. Satu pasukan yang boleh kita guna untuk kebaikan dan kesejahteraan negara," katanya ketika berucap melancarkan BSKN di Padang Awam Bandar Dara Chini di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe.

Sementara itu, Najib berkata, kos untuk setiap pelatih PLKN yang mencecah RM8,200 sepanjang tiga bulan mereka menjalani latihan tidak pernah dianggap kerajaan sebagai satu perbelanjaan sebaliknya pelaburan bagi membangunkan modal insan.

Justeru, katanya, program ini tidak harus terhenti apabila pelatih tamat latihan sebaliknya, ujian paling besar adalah ketika mereka menjalani kehidupan sebagai bekas pelatih PLKN.

''Sebab itu BSKN ditubuhkan untuk memberi ruang kepada bekas pelatih menyumbang kepada negara. Umpamanya ketika berlaku kebakaran, banjir dan tanah runtuh, maka, saya harap ahli briged ini akan tampil menyumbang khidmat tenaga sukarela mereka.

''Malah, untuk kerja-kerja membersihkan kawasan dan menghijaukan persekitaran juga saya harapkan tenaga sukarela ini (BSKN) tampil membantu kerja-kerja amal yang menyumbang kepada kesejahteraan negara," jelasnya.

Tambah Najib, bekas pelatih PLKN juga digalakkan menawarkan diri menyertai Askar Wataniah atau kumpulan lain supaya dapat membangunkan konsep pertahan menyeluruh atau

Hanruh.

''Ini agar di kalangan rakyat kita sendiri menjadi pasukan ketiga dalam menentukan keselamatan dan kedaulatan negara kita," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment