My Add

Sunday 5 February 2012

Inisiatif kerajaan bertepatan konsep negara Madinah - PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 05 Februari, 2012: Kebajikan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan masyarakat berbilang bangsa di negara ini kekal bersatu padu kerana ia teras kepada kejayaan agenda transformasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu, pelbagai inisiatif mesra rakyat yang bertepatan dengan konsep negara Madinah sebagaimana diasas Rasulullah SAW telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan.

Antaranya jelas beliau, kerajaan mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia; Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M); Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA); dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Selain itu, katanya, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia; Baucar Buku 1Malaysia (BB1M); Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) turut diwujudkan.

"Semua inisiatif ini bertepatan dengan konsep negara Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW dalam menjaga kebajikan rakyat," katanya sempena perutusan Maulidur Rasul di blognya,http://www.1Malaysia.com.my, hari ini.

Mengimbau kembali sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW, Najib berkata, Rasulullah telah berjaya membawa transformasi kepada ummah melalui kasih sayang dan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan mereka.

Tambahnya, hasil dakwah itu akhirnya muncul satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah dan ia bertepatan dengan tema 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' untuk tahun ini, dalam usaha kerajaan menjayakan agenda transformasi.

Menyentuh mengenai persefahaman asas perpaduan, Perdana Menteri berkata, nilai itulah yang beliau ketengah melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan.

"Sememangnya keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi hari ini menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua," katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment