My Add

Wednesday 15 February 2012

219,485 urusan dokumen diri diselesaikan

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Sebanyak 219,485 permohonan tertunggak bagi penduduk yang tidak mempunyai pengenalan diri berjaya diselesaikan dalam tempoh dua tahun setengah ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejayaan itu hasil komitmen tinggi petugas Jabatan Pendaftaran Negara termasuk kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan terlibat.

Menurutnya, daripada jumlah itu 138,719 membabitkan permohonan lewat pendaftaran sijil kelahiran, 62,604 permohonan kewarganegaraan dan 18,162 berkaitan permit masuk.

‘‘Kita berjaya membuktikan hasil kerjasama antara semua agensi terlibat masalah permohonan tertunggak ini berjaya kita selesaikan.

‘‘Semua pemohon terbabit telah mengetahui status permohonan mereka sama ada ia diluluskan atau sebaliknya’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penganugerahan Dokumen Pengenalan Diri Kempen MyDaftar yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya (DBKL) di sini hari ini.

Hishammuddin dalam pada itu turut menjelaskan angka yang dinyatakan itu bukan jumlah permohonan diluluskan sebaliknya ia adalah jumlah permohonan tertunggak berjaya diselesaikan.

Dalam pada itu beliau mengakui antara faktor kejayaan pihaknya menyelesaikan masalah tersebut adalah hasil daripada pendekatan turun padang bertemu rakyat sejak lapan bulan lalu.

‘‘Pendekatan ini akan kita teruskan kerana saya dapati hasil penyelesaiannya amat baik sekali.

‘‘Selepas ini antara kumpulan sasaran kita adalah bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tidak ketinggalan golongan Orang Asli. Kita mahu masalah ketiadaan dokumen diri di kalangan mereka dapat diselesaikan segera dengan cara bertemu mereka di lokasi kediaman masing-masing,’’ ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment