My Add

Wednesday 15 February 2012

LPM didakwa salah cetak slip keputusan SPM tujuh pelajar

LIM Xiang Yin ditemani oleh ibunya, Lim Sow Lean (kiri) menunjukkan salinan keputusan peperiksaan SPM yang didakwa terdapat kesilapan percetakan sambil diperhatikan oleh Lim Thoon Leong (dua dari kanan) di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG, SELASA, 14 Februari, 2012:  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) didakwa membuat kesilapan dalam mencetak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hingga menyebabkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George di sini mendapat keputusan berlainan dalam slip dan sijil asal mereka.

Kesilapan LPM itu didakwa turut menyebabkan impian seorang daripada tujuh pelajar itu, Lim Xiang Yin, 19, untuk menjadi seorang doktor tidak tercapai.

Xiang Yin yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus farmasi di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) berkata, dia mendapat slip keputusan SPM yang tertera 8A+ dan 2A pada Mac 2011.

Katanya, dia menyedari keputusan itu sepatutnya 9A+ dan 1A apabila memperoleh sijil asal SPM pada awal Februari tahun ini.

"Saya mengambil tindakan segera dengan meminta guru memanjangkan perkara ini yang melibatkan keputusan mata pelajaran Pendidikan Muzik dan LPM mengesahkan terdapat kesilapan dalam percetakan dan kini ia sedang disiasat.

"Saya kecewa dengan kesilapan percetakan ini kerana ia membawa kesan besar kepada masa depan saya. Kemungkinan besar saya boleh mendapat biasiswa JPA untuk mencapai impian saya itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA negeri, Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir ibu Xiang Yin, Lim Sow Lean, 52.

Berikutan perkara itu, Xiang Yin berharap JPA boleh meluluskan rayuannya untuk melanjutkan pengajian dalam kursus farmasi di Universiti Monash yang bermula Isnin depan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Lim Thoon Leong berkata, beliau akan membantu Xiang Yin membuat rayuan bagi membolehkannya belajar di Universiti Monash.

"Pada masa sama, saya juga akan melaporkan kes Xiang Yin kepada MCA Pusat yang mempunyai tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang sekiranya JPA tidak meluluskan rayuan berkenaan.

"LPM seharusnya memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab kerana perbezaan gred dalam keputusan SPM pasti memberi impak besar kepada masa depan seseorang pelajar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment