My Add

Monday 6 February 2012

25 pelajar tahfiz hilang tempat penginapan, pengajian

KLANG, AHAD, 06 Februari, 2012: Sebuah rumah yang dijadikan pusat pengajian dan penginapan 25 pelajar Pusat Tahfiz Darul Mustaffa hangus dalam kebakaran di Jalan Meru di sini petang semalam.

Bagaimanapun, kesemua pelajar pusat tahfiz berkenaan yang berusia antara 10 dan 16 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian pukul 4 petang itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan, Mohd. Salehhodin Sabiyee, 50, yang tinggal berhampiran setelah melihat asap hitam keluar dari bumbung kediaman.

Dia kemudian mengarahkan semua pelajar keluar daripada rumah bagi menyelamatkan diri.

"Saya bergegas ke pusat tahfiz tersebut untuk mengarahkan semua pelajar yang ketika itu ada di antara mereka sedang berehat dan tidur supaya segera keluar.

"Jiran-jiran berdekatan turut membantu mengeluarkan sebahagian perkakasan rumah yang sempat dibawa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujarnya, selepas kejadian, ramai ibu bapa pelajar datang untuk mengambil anak-anak masing-masing manakala sebahagian lagi ditempatkan di sebuah masjid berdekatan.

Tambah Mohd. Salehhodin, rumah tersebut merupakan miliknya yang telah dijadikan pusat tahfiz serta tempat penginapan pelajar sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak kisah kerugian lebih RM150,000 asalkan semua pelajar selamat," ujarnya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Mustaffa Shahril berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pukul 4.04 petang dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Kota Raja dengan 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 30 minit namun punca kebakaran masih dalam siasatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment