My Add

Monday 6 February 2012

Agih projek bantu kontraktor kelas F

AHMAD Phesal Talib (kiri) dan Affendi Zahari menunjukkan bangunan yang telah siap dicat di Desa Pandan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, AHAS, 06, Februari, 2012: Dalam usaha membantu lebih ramai kontraktor kelas F, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menggunakan pendekatan pembahagian kerja dalam melaksanakan kerja-kerja mengecat dan membaiki bumbung di rumah pangsa di Desa Pandan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pendekatan yang turut digunakan di Taman Seri Sentosa, Lembah Pantai sebelum ini ternyata mampu menggembirakan lebih banyak pihak.

"Daripada 62 kontraktor yang memohon, 43 telah dipilih bagi mengecat dan membaiki pulih di 43 blok yang terlibat. Cara ini lebih baik kerana ia memberi peluang untuk mereka bersaing di antara satu sama lain.

"Pembahagian kerja ini juga lebih memudahkan urusan pemantauan oleh kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga penduduk," katanya ketika ditemui semasa melawat ke rumah pangsa Desa Pandan di sini,

Beliau turut melawat ke flat Taman Mulia, Bandar Tun Razak yang telah siap dicat semula melalui Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP-1M).

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Affendi Zahari berkata, penduduk sudah lama menunggu rumah mereka dibaik pulih dan gembira apabila kerajaan meluluskan peruntukan.

"Sebelum bangunan ini dicat, persekitarannya kelihatan agar kotor tetapi kini kelihatan sangat ceria. Justeru, penduduk perlulah menjaga kebersihan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Rohani Sam Alias, 32, berkata, sudah hampir 20 tahun blok rumah pangsa itu tidak dicat semula.

"Kini semua orang gembira. Harap-harap selepas ini penduduk tidak lagi terlalu berkira untuk membayar yuran penyelenggaraan," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment