My Add

Friday 17 February 2012

3 peratus projek RMK-10 dikategori 'sakit'

SHAH ALAM, KHAMIS. 16 Februari, 2012: Hanya 97 daripada 3,128 projek yang diterima oleh Kementerian Kerja Raya sehingga Isnin lalu bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dikategorikan sebagai sakit.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, projek-projek sakit itu masih dalam peringkat yang terkawal dan sedang dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerajaan mengambil langkah membantu kontraktor terbabit agar mereka dapat menyiapkan projek-projek berkenaan.

Beliau memberitahu, daripada 97 projek yang sakit, kerajaan telah mengambil tindakan menamatkan 31 projek kerana kontraktor terbabit memang tidak mampu lagi melaksanakan projek berkenaan manakala 17 lagi ditenderkan semula termasuk projek Hospital Shah Alam di Seksyen 7 di sini.

"Kami akan bantu sebaik mungkin kontraktor-kontraktor yang mempunyai masalah dan memberi mereka peluang, tetapi kalau kontraktor berpenyakit yang tidak boleh dirawat dan projek ditamatkan kita senarai hitamkan.

"Kami bukannya hendak menamatkan kontraktor tetapi hendak pastikan projek siap dan rakyat akan mendapat manfaat," katanya ketika melawat tapak projek Hospital Shah Alam (Pakej 2) di Seksyen 7 hari ini.

Projek yang terbengkalai itu telah ditenderkan semula pada 4 November 2010 dengan kerajaan melantik Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. sebagai kontraktor penyelamat.

Hospital tersebut mempunyai kapasiti 300 katil selain bangunan kediaman termasuk kuarters jururawat melibatkan tapak seluas 12.2 hektar yang dijangka siap pada Oktober 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment