My Add

Friday 17 February 2012

4 kanak-kanak miskin kembali ke sekolah

HULU SELANGOR, KHAMIS 16 Februari, 2012: Penderitaan empat daripada tujuh beradik yang terpaksa berhenti sekolah ekoran kemiskinan keluarga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Empat kanak-kanak itu, Abdul Aziz Mohd. Ridzuan, 12; Siti Hajar, 10, Abdullah, 8, dan Siti Hawa, 7, akan memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya, di sini serta diberi bantuan Rancangan Makanan Tambahan mulai esok.

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pula menawarkan Abdul Aziz dan adiknya, Siti Hajar untuk mengikuti pengajian di asrama penuh yang ditanggung sepenuhnya oleh yayasan tersebut.

Ketua Operasi Lembaga Zakat Selangor, Daerah Hulu Selangor, Azhar Yahya Arif berkata, keluarga Mohd. Ridzuan Mohd. Suhaimi, 42, diletakkan di bawah kategori ketiga iaitu beliau layak untuk mendapat bantuan zakat sebanyak RM500 setiap bulan.

Beliau memberitahu, Lembaga Zakat Selangor juga bersetuju untuk membayar sewa rumah yang didiami Mohd. Ridzuan sebanyak RM200 dan menyediakan keperluan asas rumah termasuk beras bernilai RM200 selama enam bulan.

"Kita akan menyemak semula setiap enam bulan sebelum menyambung semula bantuan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah duka hidup empat kanak-kanak yang tidak bersekolah itu disiarkan dalam Utusan Malaysiakelmarin.

Episod penderitaan keluarga Mohd. Ridzuan bermula tiga tahun lalu apabila dia berhentikan kerja oleh sebuah syarikat swasta atas alasan kesihatan yang dikaitkan dengan masalah kemurungan.

Turut melawat keluarga Mohd. Ridzuan ialah Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pelajaran Selangor, Rohaya Hussein pula berkata, empat kanak-kanak itu akan disenaraikan dalam Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi membolehkan mereka memperoleh bantuan yang sepatutnya.

Anak bongsu pasangan Mohd. Ridzuan dan Zarinatul Asiah Mohamed Isa, 39, yang tidak mempunyai sijil kelahiran akibat kelewatan mendaftar turut mendapat perhatian Jabatan Pendaftaran Negara.

Pegawai Jabatan Pendaftaran Selangor, Jamaliah Mohamad sendiri turun padang melakukan pendaftaran di rumah Mohd. Ridzuan.

"Kita menjangkakan akan mendapat sijil kelahiran dalam tempoh dua minggu lagi," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment