My Add

Friday 17 February 2012

RISDA majukan tanah pekebun kecil di Kemboja

RAHIM Tamby Chik menyampaikan sijil penghargaan kepada Meor Mohd. Zamnis Meor Hassan di Kuala Lumpur semalam sambil disaksikan oleh Wan Mohamad Zuki Mohamad (tengah), Mohamat Muda (kanan) dan Ahmad Sufi Alias (kiri).

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: RISDA bakal membangunkan tanah pekebun kecil di Kemboja dengan sasaran keluasan 10,000 hektar, kata Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik hari ini.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu adalah antara hasil lawatannya bersama beberapa ahli RISDA ke Kemboja bulan lepas dalam usaha untuk mencari peluang pelaburan dalam bidang peladangan di luar negara.

Rahim menambah bagi menjayakan projek itu, sebuah pasukan teknikal telah ditubuhkan terdiri daripada wakil RISDA , ESPEK dan RISDA Plantation untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi prosedur, perundangan, kesesuaian tanah dan tanaman.

Tambahnya, setelah kajian oleh pasukan itu siap yang dijangka akhir April ini dan jika ia didapati bersesuaian, RISDA akan menubuhkan syarikat di Kemboja.

"Setakat ini, jumlah peruntukan bagi projek ini masih lagi dalam perbincangan dan kita akan umumkan secara lengkap dalam masa yang terdekat," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA di ibu pejabat RISDA di sini.

Ia turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA , Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan dua timbalannya iaitu Mohamat Muda (Pembangunan) dan Ahmad Sufi Alias (Pengurusan dan Korporat).

Pada majlis itu Rahim turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus Besar RISDA Baja, Meor Mohd. Zamnis Meor Hassan ekoran pencapaian RISDA Baja menduduki tempat ketiga bagi aspek pencapaian dalam kalangan anak syarikat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 2011.

Selain itu Rahim mengingatkan warga RISDA supaya lebih komited dalam melaksanakan setiap projek yang bakal dilancarkan memandangkan kerajaan telah memberi kepercayaan untuk melaksanakan Tanam Semula Getah dan Sawit yang melibatkan 50,000 hektar dengan tambahan bajet RM397 juta.

"Kita harus sentiasa melihat tanggungjawab kita kepada kumpulan sasar iaitu masyarakat pekebun kecil. Mereka mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada RISDA untuk membantu mereka mencapai kehidupan yang lebih sejahtera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment