My Add

Saturday 18 February 2012

69 Komando 'bertempur' komunis

SEBAHAGIAN daripada pelatih asas hutan 69 Komando bersama rakan-rakan yang 'cedera' bersiap sedia meneruskan latihan peringkat akhir di Bukit Slim, Slim River, Perak, semalam.

Oleh AMIR SARIFUDIN

SLIM RIVER, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Lapan pengganas komunis terbunuh dalam 'pertempuran' sengit selama lebih 30 minit dengan pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hutan simpan Bukit Slim, Ulu Slim dekat sini.

Pertempuran bermula pukul 7 pagi itu berlaku dalam suasana masih gelap setelah anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) itu berjaya dijejaki pergerakan mereka sejak dua minggu lalu.

Sepanjang pertempuran tersebut, lima anggota 69 Komando cedera terkena tembakan dan jerangkap samar yang dipasang sekeliling kem pengganas komunis terbabit.

Pertempuran tersebut turut menggemparkan penduduk sekitar Ulu Slim kerana bunyi tembakan dan letupan bom dapat didengar sejauh tiga kilometer.

Namun, semua aksi pertempuran itu sebenarnya adalah latihan asas hutan pasukan 69 Komando melibatkan 35 pelatih.

Ia merupakan hari terakhir latihan asas hutan setelah lima bulan para pelatih itu menjalani latihan.

Selain kawasan hutan Bukit Slim, para pelatih berkenaan turut menjalani latihan di Manong dan sekitar Kuala Kangsar termasuk di hutan paya bakau.

Sebelum latihan hari terakhir itu diadakan, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Pasukan Gerakan Khas (KDN/KA PGK) Datuk Abd. Rashid Haron dan Komander 69 Komando, Datuk Azizan Abd. Aziz turut hadir bagi memberi semangat kepada para pelatih.

Abd. Rashid memberitahu Utusan Malaysia, para pelatih itu merupakan sejumlah kecil daripada lebih 400 anggota polis yang menyertai pemilihan peringkat awal untuk menyertai 69 Komando selama dua minggu di Hulu Kinta.

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 88 anggota berjaya dipilih menyertai latihan asas komando selama lima bulan termasuk latihan asas hutan tiga bulan.

''Bagaimanapun, daripada 88 orang itu hanya 35 anggota sahaja berjaya mengharungi segala cabaran dan halangan hingga ke peringkat akhir latihan,'' katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, memandangkan situasi semasa dan pentingnya peranan 69 Komando terhadap keselamatan negara, terdapat cadangan supaya tempoh latihan asas itu dilanjutkan.

''Ini berdasarkan PDRM memerlukan anggota-anggota komando yang lebih berkemahiran dan berpengetahuan.

''Kita sedang fikirkan cadangan tersebut,'' katanya.

Sementara itu, Azizan pula memberitahu, walaupun 35 pelatih itu dapat mengharungi latihan sehingga ke hari terakhir, namun mereka akan dinilai semula.

''Kita akan terperincikan setiap kebolehan, kemampuan, kemahiran, disiplin serta sikap mereka termasuk dari segi kerjasama berpasukan sepanjang menjalani latihan.

''Ini termasuk penilaian daripada para jurulatih dan mereka yang layak sahaja akan dipanggil untuk menyertai 69 Komando,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment