My Add

Saturday 18 February 2012

Had kelayakan Rumah Mesra Rakyat dinaikkan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bercadang menaikkan syarat kelayakan utama memiliki Rumah Mesra Rakyat (RMR) kendaliannya daripada bergaji RM1,500 kepada RM3,000 sebulan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata, cadangan tersebut perlu memandangkan golongan berpendapatan antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan setakat ini dilihat tidak diberi sebarang keistimewaan untuk memiliki rumah.

''Mereka berada di tengah-tengah iaitu tidak layak memiliki RMR kerana syarat kelayakan adalah RM1,500 ke bawah manakala Skim Rumah Pertamaku pula untuk yang berpendapatan RM3,000 ke atas.

''Berdasarkan tinjauan kami, golongan berpendapatan rendah itu menyifatkan syarat RM1,500 ke bawah menjadi penghalang utama untuk memiliki rumah yang berkualiti," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini hari ini.

SPNB ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.) dan selain RMR, SPNB bertanggungjawab melaksanakan Program Rumah Mampu Milik (RMM).

Sehingga kini, SPNB menerima 42,000 permohonan untuk membina RMR di seluruh negara.

Sehubungan itu, Idris memberitahu, SPNB akan membawa cadangan tersebut kepada pihak kerajaan dalam tempoh terdekat ini agar ia boleh dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau menambah, pihaknya percaya kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menimbang cadangan tersebut, khususnya yang melibatkan golongan berpendapatan rendah.

''Kami percaya kerajaan akan mendengar dan menimbangkan cadangan itu kerana polisi perumahan yang dirangka oleh kerajaan hari ini turut memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.

''Ia sejajar dengan kecenderungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang banyak memperkenalkan pelbagai inisiatif program perumahan untuk rakyat," katanya.

Sementara itu, SPNB juga membina rumah di kawasan bandar serta pinggir bandar di bawah program RMM seluruh negara.

''Setakat ini, kami telah berjaya menyiapkan 27 buah projek (14,836 unit) bernilai RM196 juta di seluruh negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment