My Add

Saturday 18 February 2012

Forex beri kesan buruk pada individu, keluarga

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Pengharaman perdagangan mata wang asing (forex) melalui internet memberi lebih banyak kesan buruk bukan sahaja kepada ekonomi individu yang terlibat, malah terhadap institusi keluarga mereka sendiri.

Pakar Ekonomi, Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, beliau bersetuju dengan keputusan pengharaman forex dalam internet yang dibuat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam kerana ia tiada bezanya dengan perjudian.

"Mereka yang terlibat dengan forex ini sebenarnya memperjudikan wang dan masa depan kepada sesuatu yang tidak mampu untuk mengawalnya.

"Mereka fikir boleh mengaut keuntungan dengan mudah dan pantas melalui cara itu tetapi sebenarnya, golongan ini sedang memperjudikan wang yang dilabur bersama dengan nasib keluarga masing-masing.

"Apabila sudah kehilangan jumlah wang yang banyak, pasti ia akan merosakkan hubungan kekeluargaan sehingga boleh memecah-belahkan institusi tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan forex melalui internet atau menggunakan broker sebagai haram kerana tidak memenuhi kehendak syarak.

Pendapat itu turut disokong oleh Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang mengatakan pengharaman itu sebenarnya bertujuan melindungi masyarakat daripada terjebak dengan kesusahan berkaitan kewangan di kemudian hari.

"Perdagangan forex ini sebenarnya membawa lebih banyak kesan buruk berbanding kebaikan.

"Kebiasaannya, jumlah kerugian yang dialami pelabur bukanlah kecil, jadi ini sudah pasti merugikan ekonomi negara kerana kecairan mata wang yang keluar dari negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment