My Add

Saturday 25 February 2012

90 peratus pemohon BR1M di P. Pinang layak terima RM500

GEORGE TOWN, SABTU, 25 Februari, 2012: Kira-kira 90 peratus daripada 290,000 yang memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di negeri ini layak menerima bantuan khas RM500 itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, angka itu membabitkan peruntukan berjumlah RM110.25 juta.

"Seramai 220,511 pemohon layak dan mereka menerima bantuan menerusi empat fasa sejak Januari lepas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata, bagi yang belum memohon atau gagal dalam permohonannya, boleh membuat rayuan sebelum 15 April ini bagi semakan semula.

"Saya harap mereka yang gagal mendapat wang bantuan berkenaan membuat rayuan secepat mungkin dengan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri),” katanya.

Nor Mohamed berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan atau rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan urusan penyerahan BR1M di Pulau Pinang.

Sementara itu, ditanya mengenai pelawaan berdebat dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu tol pada 29 Februari ini, Nor Mohamed enggan mengulas.

Pelawaan debat itu diusul Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang menyediakan tajuk “Malaysia Bankrap Jika Hapus Tol Lebuh Raya?”. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment