My Add

Tuesday 21 February 2012

Agong terima kunjungan PM Thai di Istana Negara

KUALA LUMPUR, AHAD, 20 Februari, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Istana Negara, di sini.

Tuanku Abdul Halim diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah meluangkan masa kira-kira 20 minit berbincang dengan Yingluck dan delegasi beliau, termasuk Menteri Pertahanan Thailand, Sukumpol Sawanatat, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain.

Yingluck, 45, sedang dalam rangka lawatan sulungnya ke negara ini selepas menyandang jawatan Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas.

Beliau dijadual melawat Malaysia pada Oktober tahun lepas tetapi menangguhkannya berikutan banjir besar yang melanda Thailand.

Terdahulu, Yingluck diberikan sambutan rasmi dan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat tertutup di Putrajaya.

Malam ini, Yingluck menghadiri majlis jamuan diberikan oleh Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment