My Add

Tuesday 21 February 2012

Hanya empat pekerja dipecat, bukan sembilan - KSSB

Oleh HELMI MOHD. FOAD

SHAH ALAM, AHAD, 20 Februari, 2012: Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) mendakwa laporan yang menyatakan terdapat sembilan kakitangannya dipecat atau dipaksa berhenti atas sebab memberikan maklumat mengenai ketidaktentuan operasi syarikat berkenaan adalah tidak tepat.

Kenyataan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif KSSB berkata, menurut rekod Jabatan Sumber Manusia syarikat berkenaan, kakitangan yang diberhentikan akibat salah laku serius seramai empat orang sahaja.

“Mereka yang diberhentikan atas pelbagai salah laku terlebih dahulu telah diberikan peluang membela diri melalui surat tunjuk sebab dan setelah inkuiri siasatan dalaman mendapati mereka melakukan salah laku yang serius.

“Pihak syarikat tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang melakukan salah laku yang serius yang boleh mencemarkan prestasi serta nama baik syarikat,'' kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu mengulas laporan muka depan sebuah akhbar Inggeris hari ini yang menyebut seramai sembilan kakitangan KSSB mendakwa mereka terpaksa `membayar harga yang mahal' bagi mendedahkan mengenai dakwaan berlakunya ketidaktentuan dalam operasi syarikat berkenaan.

Mereka mendakwa telah dipecat atau dipaksa meletakkan jawatan dalam tempoh lima bulan sejak Ogos tahun lalu dan ada di antara kalangan mereka telah membuat laporan polis berkaitan gangguan yang dilakukan pihak syarikat, manakala ada yang merujuk kes mereka kepada Mahkamah Industri.

Menurut kenyataan itu, KSSB memandang serius mengenai laporan akhbar berkenaan memandangkan segala proses pemberhentian kerja adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi menangani masalah disiplin serta salah laku kakitangannya.

Selain itu, kenyataan itu memberitahu, KSSB juga bersedia memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada sesi pendengaran awam yang dijadualkan diadakan pada Mac ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment