My Add

Saturday 18 February 2012

Ahli desak Pas keluar pakatan pembangkang

MOHAMED Hafiz Mohamed Nordin (depan, dua dari kanan) bersama ahli dan penyokong Pas mengadakan bantahan secara aman terhadap Anwar Ibrahim di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG, JUMAAT, 17 Februari 2012: Sekumpulan ahli dan bekas ahli Pas di negeri ini mendesak parti itu keluar pakatan pembangkang berikutan keengganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan dalam The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sokongannya terhadap usaha memastikan keselamatan negara Israel.

Kumpulan tersebut yang diketuai oleh bekas Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin turut menyeru semua pengundi di kawasan Permatang Pauh menolak Ketua Pembangkang itu sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.

Menurut Mohamed Hafiz, Pas perlu mengkaji semula kedudukannya dalam pembangkang kerana mereka tidak memperjuangkan Islam, sebaliknya menyokong Yahudi.

Tegasnya, sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, negara akan hancur kerana menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

"Cukuplah selama ini Pas menjalin hubungan dengan pembangkang (DAP dan PKR) kerana tiada perubahan yang berlaku, malah jika Anwar menjadi Perdana Menteri, sudah pasti Kedutaan Israel bakal beroperasi di Kuala Lumpur.

"Kita selalu berusaha membantu Palestin, tetapi dia (Anwar) demi jawatan sanggup berbuat apa sahaja tanpa mempedulikan kesengsaraan yang dialami ribuan umat Islam di bumi Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perhimpunan secara aman oleh kira-kira 30 orang di Jalan Datuk Keramat, di sini selepas solat Jumaat.

Mereka juga melekatkan gambar Anwar di sebuah kerusi sebelum menterbalikkan sebagai simbolik menolaknya untuk calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Selain itu, mereka melaungkan 'Israel penceroboh', 'Anwar sokong penceroboh' dan 'Hapus Anwar'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment