My Add

Saturday 4 February 2012

Akta Hasutan cabuli kebebasan bersuara: Peguam

PUTRAJAYA, JUMAAT,03 Februari, 2012: Akta Hasutan 1948 mencabuli kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu hari ini. 

Berhujah di hadapan panel tiga hakim, peguam M. Manoharan berkata akta itu
tidak mematuhi perlembagaan kerana ia (akta) menjadikan perbuatan bersuara sebagai satu jenayah sedangkan hak warganegara bagi kebebasan bersuara dan menyuarakan pandangan dilindungi mengikut Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan. 

Beliau berkata ketetapan dalam Akta Hasutan menjadikannya satu kesalahan
bagi seseorang untuk bertindak, bersuara atau menerbitkan kenyataan "berbaur 
hasutan" tanpa sebarang syarat di pihak pendakwaan untuk membuktikan perkataan 
itu sebenarnya adalah hasutan. 

Manoharan berkata apa yang menyedihkan, kesalahan itu tidak memerlukan 
dibuktikan niat pihak yang mengeluarkan kenyataan itu dan sama ada kenyataan 
yang dibuat itu akan atau mencetuskan keganasan atau ketidaktenteraman awam. 

Beliau berkata pihak pendakwaan juga tidak perlu membuktikan kebenaran kenyataan hasutan itu. 

Manoharan berhujah demikian dalam rayuan yang dikemukakan anak guamnya, 
peguam P.Uthayakumar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jan tahun lepas yang menolak permohonan Uthayakumar untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak mematuhi perlembagaan. 

"Pendek kata, seseorang yang mengeluarkan kenyataan yang tidak berbaur 
hasutan dan dibuat dengan niat baik dan bercakap benar mengenai perkara itu 
akan masih boleh disabitkan dengan hasutan di bawah Akta Hasutan," katanya dan 
menurutnya ketetapan itu tidak masuk akal dan tidak munasabah. 

Manoharan berkata akta itu tidak memberikan perbezaan jelas antara dua 
kategori utama orang -- mereka yang ikhlas dalam ucapan mereka dan bercakap 
benar dan mereka yang tidak ikhlas dan berhasrat mengapi-apikan rasa benci dan 
keganasan. 

Beliau berkata ia merupakan akta lapuk apabila hak perlembagaan warganegara 
perlu ditafsirkan secara terbuka dan undang-undang yang mengehadkan hak 
sepatutnya dibaca secara sempit. 

Manoharan berkata hak Uthayakumar untuk bersuara dan melahirkan pendapat 
telah dibataskan oleh akta itu sepertimana terbukti dengan pendakwaan 
terhadapnya. 

Uthayakumar, 49, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, dihadapkan ke 
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Dis, 2007, atas pertuduhan menerbitkan 
surat berbaur hasutan di laman web "Police Watch Malaysia" bertarikh 15 Nov 2007 yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Great Britain ketika itu Gordon Brown. 

Beliau membuat permohonan pengisytiharan (untuk mengisytiharkan Akta 
Hasutan tidak mematuhi perlembagaan), dalam usaha untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya mengikut akta itu dan pendakwaan dalam prosiding di Mahkamah Sesyen digugurkan. 

Perbicaraan kesnya itu telah tertangguh sementara menunggu rayuannya selesai. 

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin dalam hujahan bertulisnya berkata 
ketetapan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukannya hak mutlak. 

"Parlimen mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang untuk mengehadkan 
hak kebebasan itu," katanya dan menurutnya Uthayakumar dituduh bagi kesalahan 
itu mengikut undang-undang sahih. 

"Akta Hasutan ialah akta yang diluluskan oleh Parlimen dengan niat untuk 
melindungi ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya. 

Panel hakim terdiri daripada Datuk Sulaiman Daud, Datuk Azhar Ma'ah dan 
Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menangguhkan pendengaran itu ke satu tarikh yang belum ditetapkan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment