My Add

Tuesday, 7 February 2012

Ancam pembiakan ikan: Pukat buaya mungkin diharamkan

JITRA, SELASA, 07 Februari, 2012: Penggunaan pukat buaya yang didapati mengancam pembiakan sumber hidupan laut mungkin diharamkan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan telah diarah menjalankan kajian untuk menguatkuasakan pengharaman penggunaan pukat tersebut melalui satu pekeliling dalam masa terdekat.

"Pukat buaya memerangkap segala jenis ikan dan hidupan laut termasuk ikan-ikan kecil, dan ini boleh mengakibatkan hidupan laut pupus,” kata Mohd Johari kepada pemberita pada majlis mesra tani Bernas dan masyarakat Siam dalam Parlimen Kubang Pasu di Kampung Kota Giam di sini hari ini.

Menurut Mohd Johari, pukat buaya asalnya pukat tarik/tunda diubah suai menjadi lebih lebar dan panjang akan terapung semasa ditarik, dan banyak digunakan pengusaha bot ikan di Kedah pada waktu malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, banyak pemilik bot di Kedah yang dikesan menggunakan pukat buaya sejak setahun lepas mengaut bertan-tan ikan kecil dikenali sebagai ikan baja setiap kali keluar ke laut.

"Ikan baja ini digunakan untuk membuat makanan ikan. Kementerian akan meminta penternak ikan mencari sumber alternatif sebagai sumber makanan ikan mereka,” tambahnya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment