My Add

Sunday 19 February 2012

Kaum Cina dingin terhadap program Tukar

IPOH, SABTU, 18 Februari, 2012: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kecewa dengan sambutan dingin kaum Cina terhadap Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Menurut Ismail Sabri, hanya 7.5 peratus peruncit kaum itu terlibat dalam program berkenaan yang sehingga kini telah berjaya memodenkan sebanyak 539 kedai runcit tradisional di seluruh negara.

Menurutnya, meskipun berlaku sedikit penambahan selepas perasmian sebuah kedai runcit milik kaum itu yang menyertai program berkenaan di Puchong bulan lalu, namun, jumlah tersebut masih sedikit jika dibandingkan penglibatan kaum Melayu dengan lebih 67 peratus dan India, 13 peratus.

"Mereka (kaum Cina) kurang yakin dan mahu 'tengok dulu' sama ada peruncit yang terlibat ini ada untung atau tidak, sedangkan hakikatnya ia telah berjaya meningkatkan pendapat peruncit antara 30 dan 100 peratus.

"Saya amat berharap mereka (kaum Cina) ubah cara berfikir dan membuang segala stigma tidak benar mengenai program ini. Kerajaan tetap komited untuk meneruskan program-program seumpama ini yang mampu meringankan beban rakyat biarpun menerima pelbagai kritikan.

"Kita harap peluang ini direbut semua kaum," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kedai Xin Dong Li yang menyertai program Tukar di sini hari ini.

Program Tukar merupakan Projek-Projek Permulaan (EPP) yang bertujuan memodenkan operasi kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Kerajaan memberikan satu bentuk bantuan pinjaman mudah menerusi Bank Rakyat sebanyak RM60,000 kepada setiap peruncit dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus setahun dengan tempoh bayaran selama 15 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kedai Xin Dong Li milik Thong Siang Mim, 37, di sini itu telah berjaya meningkat pendapatannya sebanyak 200 peratus sejak menyertai program Tukar pada November tahun lalu.

"Sebelum ini, pendapatan kedai runcit ini hanya sekitar RM500 sehari, namun setelah ditransformasikan melalui program Tukar, ia berjaya mengutip sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sehari selain keadaan kedai yang lebih kemas, tersusun dan ceria.

"Kejayaan ini kita harap mampu menarik minat peruncit lain untuk menyertai program ini. Diharapkan sasaran kita untuk memodenkan sebanyak 5,000 kedai runcit menjelang 2020 akan berjaya dicapai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment