My Add

Wednesday 15 February 2012

Angkasa taja Pertandingan Seni Jawi Nusantara Utusan

MOHAMED Hashim Ahmad Makaruddin (kanan) menerima tajaan cek daripada Dr. Mohd. Ali Baharum di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini menyerahkan tajaan sebanyak RM50,000 bagi menjayakan Pertandingan Seni Jawi Nusantara anjuran Utusan Malaysia melalui akhbar sisipan Utusan Melayu Mingguan.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, penajaan tersebut bukan sahaja bertujuan menggalakkan generasi muda mencintai tulisan jawi tetapi mewarisinya.

"Tajaan ini bukan sebagai suatu aktiviti tanggungjawab sosial korporat Angkasa namun ia inisiatif tetap yang dipersetujui di peringkat tertinggi bagi membantu proses pembangunan sosial rakyat.

"Memandangkan kewujudan sisipan Utusan Melayu Mingguan telah meningkatkan kadar bacaan tulisan jawi dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah, saya merasakan pertandingan ini merupakan platform terbaik bagi meningkatkan keutuhan tulisan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan tajaan berkenaan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Ali menyerahkan replika cek tajaan bernilai RM50,000 kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Naib Presiden Angkasa, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan; Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor dan PengarangUtusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.

Pertandingan itu yang disasarkan kepada semua pelajar sekolah menengah hanya memerlukan peserta menulis semula empat ayat dalam tulisan jawi mengikut kreativiti masing-masing.

Hadiah yang ditawarkan bagi juara sebanyak RM2,000, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) di samping 20 hadiah sagu hati bernilai RM100.

Selain itu, empat sekolah yang menghantar penyertaan tertinggi akan menerima hadiah RM1,000.

Borang penyertaan boleh didapati di dalam akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Rabu, akhbar sisipan Utusan Melayu Mingguan setiap Isnin dan laman web www.utusan.com.my.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 April ini dan sebarang pertanyaan boleh ditujukan pada talian 03-92210202. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment