My Add

Thursday 16 February 2012

ATM kerjasama dengan pelbagai negara bina bilik darjah

KUALA LUMPUR, RABU, 15 Februari, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama pasukan tentera beberapa negara lain telah membina sebuah bangunan tiga bilik darjah untuk Sekolah Wat Chaloenlap Wararam, Chonburi di Thailand baru-baru ini.

Menurut kenyataan daripada Exercise Cobra Gold 2012 (CG12) di sini hari ini, projek itu dilaksanakan di bawah program ”Engineer Civic Assistant Project” (ENCAP).

Projek itu dimulakan 16 Januari lepas dengan kerjasama tujuh anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Tentera Darat diketuai oleh Kapten Adnan Omar, 20 anggota tentera laut negara Amerika Syarikat dari United States Naval Construction Batalion FORTY (SeaBees) dan 20 anggota Tentera Laut Diraja Thailand.

"Peluang untuk bekerjasama dengan pasukan jurutera dari Amerika dan Thailand adalah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan di mana beberapa teknik baru yang diaplikasi oleh mereka telah dipelajari,” menurut CG12.

Menurut kenyataan itu, sebanyak enam penempatan projek ENCAP telah dilaksanakan yang meliputi daerah Saraburi, Nakon, Ratchasima, Rayong, Chantaburi dan Contaburi.

CG12 adalah latihan tahunan membabitkan eksesais berskala besar melibatkan pasukan dari pelbagai negara untuk bekerjasama dalam bantuan kemanusiaan, menangani bencana alam, perubatan ketenteraan dan memastikan isu keselamatan serantau ditangani bersama. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment