My Add

Friday 17 February 2012

Bangga prestasi Maritim Malaysia


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sijil penghargaan khas kepada salah seorang pegawai sempena Hari Maritim Malaysia Ketujuh sambil disaksikan oleh Amdan Kurish di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia, Gebeng, Kuantan, semalam.

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang merupakan aset baru kerajaan diibaratkan sebagai 'Tunas Muda' kerana memberi nilai tinggi kepada rakyat walaupun ketika diumumkan penubuhannya tujuh tahun lalu, ramai yang sinikal terhadap usaha murni tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan trend jenayah pelanunan dan rompakan yang membimbangkan di samping wujudnya jenayah rentas sempadan, ramai pihak tidak begitu yakin bahawa kadar jenayah itu dapat dikurangkan.

"Tetapi Alhamdulillah, pada hari ini, saya boleh melihat dan merasai gelombang perubahan yang sedang berlaku. Berkat perancangan, kesungguhan dan pengorbanan setiap warga Maritim Malaysia, kadar jenayah maritim di seluruh negara telah dapat dikurangkan sebanyak 16 peratus pada 2006 kepada 4.22 peratus pada 2011.

"Statistik ini berdasarkan kepada 66,678 kali pemeriksaan dan 4,832 penahanan bagi pelbagai kes. Berdasarkan rekod Biro Maritim Antarabangsa (IMB), kejadian pelanunan dan rompakan melibatkan kapal dagang di perairan negara telah menurun dengan tiada kes dilaporan pada 2009 hingga 2010 dan hanya dua kes dikesan pada 2011.

"Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Januari tahun ini, sebanyak 794 pelbagai kes penyeludupan telah dikendalikan yang mana ia turut mengecilkan jurang kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara," katanya ketika berucap merasmikan Hari Maritim Malaysia Ketujuh di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia (PLAMM) di sini hari ini.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Amdan Kurish.

Pada sambutan tersebut, selain disampaikan sijil khas kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia, turut dilancarkan buku Sejarah Penubuhan Maritim Malaysia serta penyerahan sijil MS ISO 9001:2008 yang diberikan kepada PLAMM.

Muhyiddin berkata, biarpun diperlekehkan, Maritim Malaysia tetap merupakan agensi penguat kuasa yang diwujudkan oleh kerajaan bagi mendepani benteng kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

"Saya yakin, di sebalik usia muda Maritim Malaysia yang baru sahaja melangkah ke tujuh tahun, rata-rata rakyat tempatan dan sebahagian masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf dan menghargai peranannya," katanya.

Beliau dalam pada itu, berkata, program transformasi Maritim Malaysia akan meneruskan perolehan dan penggantian aset bagi memperkasakan keupayaan penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat.

"Hampir 90 peratus aset termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dijangka akan dapat dicapai selepas tahun 2016," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment