My Add

Friday 17 February 2012

Inisiatif kerajaan kurangkan beban rakyat - Muhyiddin

KUANTAN, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan melakukan pelbagai program dan bantuan bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dengan bebanan ditanggung oleh rakyat ketika ini.

"Barisan Nasional (BN) tawar apa termampu dan tidak membuat pinjaman untuk memberi bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menggunakan simpanan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan 1Malaysia di Pusat Rekreasi Pantai Balok di sini hari ini yang dihadiri seramai 20,000 orang.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan baucar BR1M bernilai RM4.3 juta kepada 8,500 penerima melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Beserah dan DUN Semambu di bawah Parlimen Indera Mahkota.

Hadir sama Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Muhyiddin berkata, tahun ini kerajaan membelanjakan sejumlah RM33 bilion setahun untuk subsidi kepada rakyat.

Jelasnya, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan rakyat mendapat pendapatan tinggi, produktiviti negara meningkat, mengawal inflasi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

"Kita (kerajaan) juga memperkenalkan kawalan harga untuk memastikan harga barangan tidak terus membebankan rakyat.

"Jika kerajaan tidak masuk campur, harga barang ini adalah tinggi dan sekali gus kos sara hidup akan lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulangi kenyataan bahawa bantuan BR1M bukan rasuah, sebaliknya ia adalah wang rakyat yang diberikan semula kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, bantuan itu diberikan kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.

Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut mengumumkan beberapa peruntukan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan berjumlah RM19.8 juta.

Antaranya, membina Masjid Chengal Lempong, Beserah bernilai RM4 juta; membina Dewan Serbaguna Kampung Peramu, Kuantan (RM1juta), menaiktaraf sistem perparitan di Kampung Nelayan Beserah (RM3.5 juta), dan pembinaan semula gerai serta pasar ikan di Beserah (RM6 juta). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment