My Add

Friday 17 February 2012

Lelaki agresif bimbang rahsia ke pusat hiburan diketahui isteri

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Gara-gara bimbang rahsianya mengunjungi sebuah pusat hiburan diketahui isteri, seorang lelaki bertindak agresif apabila menghalang polis menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan di Bandar Puteri, Puchong dekat sini tengah malam tadi.

Lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai pemilik sebuah bengkel kenderaan itu bukan sahaja cuba merasuah polis RM150 untuk melepaskan diri namun bertindak mencederakan diri sendiri dengan botol-botol minuman keras yang dipecahkan.

Menurut Ketua Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Shahrul Nizam Jaafar, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

"Ketika serbuan pukul 12.30 tengah malam, dia sedang minum bersama seorang rakannya namun bertindak agresif apabila pemeriksaan dibuat.

"Pada awalnya, rakannya cuba menenangkan lelaki itu namun gagal apabila dia mula hilang kawalan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Shahrul Nizam berkata, dalam serbuan itu, seramai empat wanita tempatan termasuk seorang warga Vietnam ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

Katanya, salah seorang daripada wanita tempatan itu berusia 18 tahun dan masih bersekolah di tingkatan lima.

"Dia terpaksa mencari pendapatan lebih untuk menampung persekolahannya dan berharap dapat dibebaskan kerana perlu menghadiri kelas pagi ini," katanya dan memberitahu, premis yang beroperasi sejak tahun lalu itu tidak memiliki lesen hiburan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment