My Add

Tuesday 7 February 2012

Batu Caves mula meriah menyambut Thaipusam, esok

KUALA LUMPUR, ISNIN, 06 Februari, 2012: Suasana di Batu Caves hari ini mula meriah dengan kehadiran ribuan penganut agama Hindu, pelancong asing dan peniaga sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut esok.

Mereka mula membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di lokasi itu seawal jam 8 pagi dengan mencukur kepala dan membawa ”pal kudam” (belanga susu) sebelum menaiki 272 anak tangga untuk membayar nazar mereka.

Lalu lintas serta keadaan sekitar lokasi itu dilihat terkawal dengan kehadiran anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Sehingga tengah hari tadi, laluan trafik ke Batu Caves bergerak perlahan terutama di Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR2) agak sesak kerana memberikan laluan kepada penganut agama Hindu yang berjalan kaki menuju ke Batu Caves.

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan itu bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan dan memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Seperti tahun sebelumnya, suasana di sekitar kuil itu juga meriah dengan kebanjiran gerai yang menjual pelbagai jenis barangan. 

Lebih 100,000 penganut agama Hindu sertai perarakan

Sementara itu di GEORGETOWN, lebih 100,000 penganut agama Hindu hari ini membanjiri sepanjang jalan sejauh 10 kilometer semasa perarakan arca Dewa Murugan dari Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Kebun Bunga di sini sempena perayaan Thaipusam esok.

Perarakan ”Ratham” dengan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak dan diiringi alunan alat muzik tradisional India, “Mridangam” dan “Natheswaran” bermula seawal pukul 6.30 pagi.

Perarakan itu turut memukau ribuan pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto semasa penganut menunaikan hajat dengan memecahkan ribuan biji kelapa semasa perarakan itu singgah di hadapan gerai “Thanir Panthal” yang didirikan di sepanjang laluan ke kuil itu.

Esok, penganut Hindu akan membawa pelbagai jenis kavadi menaiki 276 anak tangga untuk sampai ke Kuil Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit Jalan Kebun Bunga di sini bagi membayar nazar dan mendapat restu daripada Dewa Murugan.

Pada hari ketiga pula, arca Dewa Murugan akan diarak balik dari kuil Nattukottai Chettiar ke kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment