My Add

Thursday 16 February 2012

Kontraktor digesa kembang sayap ke luar negara

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 16 Februari, 2012: Kontraktor di negara ini yang memiliki kepakaran teknikal dan kewangan, digesa mengambil langkah berani dengan meneroka potensi di luar negara meskipun berisiko.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata cabaran yang bakal dihadapi, termasuk pendedahan kepada turun naik mata wang selain risiko politik dan kontrak.

"Risikonya mungkin tinggi, namun ia berpotensi meraih ganjaran yang lebih besar," katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia Keempat 2012, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Himmat Singh Ralla Singh.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (CIDB), Datuk Hamzah Hasan dan Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Kwan Foh Kwai.

Shaziman berkata, rekod CIDB menunjukkan syarikat Malaysia kini terbabit dalam 82 projek di luar negara bernilai RM38 bilion, kebanyakannya di Timur Tengah, India, ASEAN dan Afrika.

Beliau berkata, penubuhan Dana Infrastruktur ASEAN dan Dana Kerjasama Pelaburan China-ASEAN bagi membiayai infrastruktur utama, tenaga dan projek pembinaan di seluruh ASEAN, dapat membantu merapatkan ekonomi ASEAN merealisasikan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN untuk penyepaduan pada 2015. 

"Dana ini juga dapat menangani risiko yang bakal ditanggung serta menyediakan pembiayaan untuk projek Usaha Sama Awam-Swasta dalam ASEAN," katanya.

Bertema "Pelaburan Infrastruktur menerusi Usaha Sama Awam-Swasta", sidang kemuncak anjuran MBAM itu bertujuan membantu menyediakan maklumat balas kepada agensi kerajaan untuk meneroka penyelesaian praktikal terhadap isu kritikal membabitkan industri pembinaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment