My Add

Tuesday 7 February 2012

Boikot tanda pendirian teguh

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 07 Februari, 2012: Tindakan memboikot secara agresif kesemua barangan keluaran syarikat yang mengiktiraf perkahwinan sejenis membuktikan pendirian teguh semua pihak dalam menentang aktiviti songsang terbabit.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli menegaskan, justeru semua rakyat negara ini digesa agar bersatu, mengutuk dan memboikot mana-mana pihak yang masih bertegas menyokong aktiviti tidak bermoral itu.

“Jika tidak menentang sekeras-kerasnya, kita bimbang ‘penyakit’ ini akan membina empayarnya secara meluas dan terus menular dengan lebih parah, sekali gus merosakkan moral masyarakat negara ini.

“Kita harus bersuara dengan lebih lantang dan teguh dalam mempertahankan perkara ini bagi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan seorang paderi Kristian, Steven Andrew yang menggesa pengguna supaya memboikot Starbucks ekoran syarikat itu menyokong rang undang-undang untuk mengesahkan perkahwinan sejenis di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Andrew yang juga Presiden Institusi Paderi Kristian AS di California turut mengatakan bahawa penganut Kristian kecewa dengan tindakan Starbucks yang disifatkan menentang ajaran Tuhan.

Selain Starbucks, lebih 100 syarikat lain turut menyokong rang undang-undang perkahwinan sejenis itu termasuk Nike, Google dan Microsoft.

Tambah Mohd. Jurit, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau organisasi yang tetap berkeras menyokong gejala songsang itu.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, memboikot adalah salah satu senjata yang dimiliki rakyat untuk menunjukkan protes terhadap tindakan mereka mengiktiraf budaya tersebut.

“Tindakan melemahkan ekonomi mereka melalui aktiviti memboikot adalah serangan moden pada zaman ini tanpa sebarang pertumpahan darah.

“Memboikot tidak boleh bersendirian tetapi perlunya kerjasama semua pihak untuk benar-benar menunjukkan bantahan demi menyokong pendirian negara yang jelas sama sekali menolak budaya perkahwinan sejenis di negara ini,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, dia tidak terkejut dengan dakwaan tersebut kerana syarikat berkenaan adalah penyokong kuat Yahudi.

“Malah, banyak syarikat milik Yahudi di dunia ini turut memberi sokongan kepada perkahwinan sejenis, namun mereka mengaburi mata dengan berselindung di sebalik perniagaan.

“Apa yang penting, semua pihak harus meletakkan kepentingan agama sebagai perkara utama dalam kehidupan seharian bagi menyelamatkan akidah daripada terjebak dengan budaya songsang dan perjuangan mereka itu,” katanya.

Pengerusi Persatuan Muslimah (SALIMAH), Rubiyah Harun pula menegaskan, masyarakat di negara ini terutama umat Islam perlu sensitif dan tidak boleh berkompromi dengan ajaran yang bercanggah dengan agama.

“Ini kerana hukum Islam hanya berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Lantaran itu, meluluskan dan menyokong undang-undang yang berlawanan dengan syariat Islam adalah ditolak sama sekali,” jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment