My Add

Tuesday 7 February 2012

200,000 layak terima BR1M

Oleh HAPIZAH AZIZ

PASIR MAS, SELASA, 07 Februari, 2012: Sebanyak 200,000 daripada 600,000 pemohon di negeri ini layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk fasa pertama.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kira-kira 300,000 keluarga lagi dijangka diluluskan apabila laporan mengenainya disiapkan tidak lama lagi.

Katanya, kelulusan itu tidak dapat disegerakan berikutan masalah penyampaian borang dan maklumat kepada sebahagian pemohon yang sesetengahnya tinggal di kawasan pedalaman.

“Namun mereka yang berkenaan tidak perlu bimbang kerana bantuan itu adalah hak mereka dan lambat laun pasti menerimanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong di sini, kelmarin..

Hadir sama termasuk Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat dan Penyelaras DUN Chetok, Johan Che Pa.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggesa penduduk membuat perubahan dengan memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Kita memerlukan kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat serta boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi.

“Biarpun BN tidak memerintah Kelantan, kita masih terus menyalurkan peruntukan untuk membangunkan rakyat tetapi kita tidak boleh melaksanakan lebih daripada itu kerana kuasa amat terhad,” katanya.

Katanya, justeru BN memerlukan mandat daripada penduduk di negeri ini supaya dengan itu lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment