My Add

Tuesday 7 February 2012

Pusat Tahfiz terbakar: Pelajar teruskan pengajian di masjid

KLANG, SELASA, 07 Februari, 2012: Seramai 25 pelajar Pusat Tahfiz Darul Mustaffa di Batu 7 1/2, Jalan Meru-Klang di sini akan meneruskan pengajian di Masjid Asy Syarif sehingga bangunan pusat tahfiz itu yang terbakar semalam, dibina semula.

Pemiliknya, Mohd. Sallehodin Sabiyee, 50, berkata, pihak jawatankuasa masjid berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari pusat tahfiz itu bersetuju menumpangkan para pelajar bagi meneruskan pengajian mereka buat sementara waktu.

''Kesemua pelajar akan meneruskan pengajian di masjid berkenaan dan kita juga telah mendapatkan rumah sewa berdekatan masjid untuk mereka menginap.

''Saya bersyukur kerana pihak jawatankuasa masjid banyak membantu kami dari segi kewangan mahu pun tenaga," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, 25 pelajar Pusat Tahfiz Darul Mustaffa terselamat selepas bangunan penginapan dan pembelajaran mereka terbakar. Punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan pihak bomba.

Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui, Mohd. Hasril Anuar, 14, berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran walaupun semua barangan miliknya hangus dijilat api.

''Saya sedih kerana tempat belajar kami sudah hangus. Semua barang seperti dompet, buku dan pakaian sudah tiada kerana saya tidak sempat selamatkan apa-apa pun.

''Bagaimanapun, dugaan ini menaikkan semangat saya untuk belajar dengan lebih tekun selepas ini," kata anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Sallehodin di talian 019-3144222. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment