My Add

Monday 6 February 2012

Boleh tuntut BR1M selepas tarikh tutup

AHMAD Husni Hanadzlah (dua dari kanan) bertanyakan khabar dan masalah penduduk kampung sambil diperhatikan oleh Ahli Dewan Undangan Ulu Kinta, Rusnah Kassim (kanan) pada program bantuan kepada mangsa ribut yang menimpa 27 keluarga di Kampung Ulu Chemor, Tambun, semalam.

IPOH, AHAD, 06 Februari, 2012: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mempunyai kesulitan untuk menuntut wang bantuan pada tarikh ditetapkan seperti terkandung dalam surat pemberitahuan, dibenarkan membuat tuntutan selepas tempoh itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, penerima masih boleh menuntut baucar bayaran BR1M tersebut melalui pejabat daerah atau pejabat pembangunan negeri.

"Mereka yang tidak hadir semasa majlis penyerahan boleh terus ke Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan Negeri untuk mendapatkan baucar berkenaan.

"Selain itu, bagi mereka yang lewat menerima surat pemberitahuan juga perlu mendapatkan baucar masing-masing di pejabat berkenaan sebelum menunaikannya di bank," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 27 mangsa ribut di Kampung Ulu Chemor di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Husni berkata, bagi memberi kemudahan kepada orang ramai, pihaknya turut menyediakan kemudahan bank bergerak di setiap majlis penyerahan baucar BR1M bagi memudahkan mereka menunaikan terus baucar berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan kerajaan kerana tidak mahu orang ramai yang layak menerima bantuan tersebut berdepan kesulitan untuk menunaikan baucar masing-masing.

"Terdapat kes orang ramai terutama yang berada di kawasan pedalaman menghadapi masalah pengangkutan untuk menunaikan baucar di bank yang terletak jauh.

"Jadi, kita bawa bank ke sini supaya selepas dapat baucar, mereka terus pergi ke bank bergerak yang disediakan untuk menunaikan baucar masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, bagi pemohon yang belum menerima surat makluman sama ada permohonan mereka ditolak atau diterima, permohonan masih dalam pertimbangan.

"Jika hingga sekarang tidak ada surat penolakan, bermakna mereka berjaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment