My Add

Sunday 5 February 2012

Briged Sukarelawan Khidmat Negara dilancar

PEKAN, AHAS, 05 Februari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di Padang Awam Bandar Dara, Chini di sini.

Briged yang merupakan idea Perdana Menteri sendiri itu ditubuhkan bagi membolehkan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menjalankan kerja-kerja sukarela.

Briget itu bertujuan melahirkan remaja yang patriotik, menyemarakkan perpaduan kaum dan meningkatkan semangat kesukarelaan di kalangan masyarakat.

Pada majlis itu juga, lebih 10,000 orang hadir termasuk kira-kira 3,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari seluruh negara.

Selain itu, turut diadakan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk tentera, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan bomba.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr. Tiki Lafe dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Sementara itu, seorang ahli BSKN, Nabilla Mohamad Ramlan, 24, berkata, dia berasa amat gembira dapat menyertai briged itu kerana dapat membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

"Saya bersedia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan pada bila-bila masa agar apa yang saya belajar di PLKN dahulu dapat digunakan kembali," kata mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Bagi Nur Hanis Ramli, 19, pula berkata, briged itu akan dapat menyatukan kembali bekas-bekas pelatih PLKN di seluruh negara untuk bersama-sama membantu membuat kerja sukarela.

"Selain melakukan kerja sukarela, penubuhan briged ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim antara bekas PLKN selain dapat meningkatkan semangat patriotik mereka," katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment