My Add

Monday 20 February 2012

BSN 'gempur' kampung promosi Perbankan Tanpa Cawangan

SEORANG penduduk Kampung Api-api, Siti Sarihat Mohd. Asmar membuat bayaran bil kepada ejen BSN, Mazlan Juahiri (kanan) di kampung itu di Jeram, Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR, AHAD, 19 Februari, 2012: Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengadakan Program Gerak Gempur Kampung bagi mempromosikan perkhidmatan terbarunya Perbankan Tanpa Cawangan ke seluruh negara.

Program sehari yang bermula semalam itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu semalam bagi negeri Kelantan dan Terengganu, manakala hari ini bagi negeri-negeri lain termasuk Selangor.

Naib Presiden/Pengarah BSN Selangor, Noraini Mohd. Johan berkata, program berkenaan bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan terbaharu itu dan memperkenalkan ejen BSN kepada penduduk setempat.

Katanya, langkah itu penting agar maklumat tepat dapat disampaikan, selain meyakinkan orang ramai terhadap ejen yang dilantik bagi menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar menggunakan perkhidmatan tersebut, seterusnya membuka akuan simpanan BSN.

"Semua petugas bergerak dari rumah ke rumah untuk menghebahkan kepada penduduk sekitar tentang kewujudan ejen dan perkhidmatan baharu BSN ini," katanya kepada Utusan Malaysiadalam siri program berkenaan di Kampung Api-Api, Kuala Selangor, hari ini.

Tambah Noraini, semua petugas yang terlibat turut membekalkan borang pembukaan akaun simpanan kepada mana-mana isi rumah yang disinggahi sekiranya mereka tidak mempunyai akaun BSN.

Jelasnya, objektif program berkenaan juga untuk menggalakkan orang ramai menabung menerusi perkhidmatan perbankan.

Katanya lagi, bagi mencapai misi menyalurkan maklumat ke seluruh Selangor, pihaknya telah membahagikan kakitangan kepada 15 kumpulan untuk bergerak di 15 zon yang merangkumi daerah Kuala Selangor dan Klang.

"Biarpun belum sebulan dilancarkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan BSN berharap selepas ini Perbankan Tanpa Cawangan menjadi pilihan orang ramai untuk urusan perbankan," ujarnya.

Sementara itu, ejen BSN di Kampung Api-Api, Mazlan Juahiri berkata, perkhidmatan terbaharu BSN itu memudahkan orang ramai terutamanya di kawasan luar bandar melakukan urusan perbankan.

"Kini penduduk kampung tidak perlu lagi berjalan jauh untuk membuat transaksi deposit atau pengeluaran tunai di kaunter bank serta berbaris panjang membayar bil.

"Sambil membeli keperluan rumah di kedai saya, orang ramai boleh membuat urusan perbankan di sini dengan hanya kurang daripada 10 minit," katanya.

Bagaimanapun, dia mencadangkan agar perkhidmatan itu diperluaskan lagi seperti pengeluaran tunai melalui akaun bank selain daripada BSN dan pembelian kad prabayar telefon bimbit. UTUSAN

No comments:

Post a Comment