My Add

Monday 20 February 2012

Transformasi lonjakkan koperasi negara

DR. Mohd. Ali Baharum menyerahkan plak seminar kepada Azizah Mohd. Dun (kanan) sebagai simbolik kepada perasmian seminar Transformasi Ke Arah Masyarakat Koperasi Yang Cemerlang, Kreatif Dan Inovatif di The Palace Hotel, Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU, AHAD, 19 Februari, 2012: Transformasi yang dilakukan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sejak 2009 telah menunjukkan impak positif kepada seluruh koperasi terlibat.

Presiden Angkasa, Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, dengan pelbagai pendekatan baru dilaksanakan, pihaknya yakin sasaran sumbangan lima peratus koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 akan dicapai lebih awal lagi.

"Kita nampak impak yang tinggi dalam apa yang kita lakukan kini. Jadi, sasaran lima peratus saya rasa lebih cepat lagi dan kita juga mampu mencapai sasaran memberikan sumbangan 10 peratus kepada KDNK menjelang 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian seminar Transformasi ke arah masyarakat koperasi yang cemerlang, kreatif dan inovatif di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun; Naib Presiden Angkasa, Armi Zainuddin dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sabah, Saiful Bahari Omar.

Menurut Mohd. Ali, antara program transformasi Angkasa yang telah memberi impak besar ialah Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Bhd. (Kopsya), pusat rawatan dialisis dan gerakan koperasi di sekolah dan masjid.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menubuhkan tabung wakaf yang akan memberi sumbangan signifikan kepada Angkasa.

"Dalam tempoh terdekat, kita juga akan melancarkan banyak lagi program seperti talian telekomunikasi My Koop dan membuka sebuah hotel di Langkawi yang dikenali sebagai My Angkasa Akademi dan Resort," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kini terdapat kira-kira 5,000 daripada kira-kira 9,000 koperasi di seluruh negara berdaftar dengan angkasa.

"Jadi, kita akan terus menggiatkan usaha mendaftar koperasi berkenaan memandangkan lima peratus daripada koperasi yang tidak aktif dikenal pasti tidak berdaftar dengan Angkasa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment