My Add

Tuesday, 14 February 2012

Buang sampah sesuka hati

WALAUPUN rumah sampah disediakan oleh DBKL tetapi masih ada penduduk yang mengambil jalan mudah dengan meninggalkan sampah mereka di siar kaki dan bawah tangga. - UTUSAN/Amin Farij Hasan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Dari jauh flat Sri Pahang kelihatan tiada cacat celanya tetapi sebaik sahaja memasuki ke kawasan perumahan itu, hati menjadi sayu dan pelbagai perkara akan bermain di fikiran.

Antara yang menjadi persoalan ialah mengapakah ada segelintir penduduk di situ sanggup mengotori kawasan rumah mereka sendiri dan apa perasaan mereka sewaktu membuang sampah-sampah itu.

Ada juga penduduk tanpa rasa bersalah membuang sampah dari tingkat atas yang bukan sahaja akan mengotorkan kawasan itu tetapi juga boleh membahayakan keselamatan orang yang berada di bawah.

Sikap tidak bertanggungjawab serta kurang kesedaran sivik di kalangan penduduk menyaksikan Sri Pahang tercemar dengan masalah sampah yang dilonggokkan di merata-rata tempat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke perumahan awam tersebut mendapati, terdapat banyak longgokan sampah yang ditinggalkan di tepi tangga dan lif, selain sampah yang bertaburan di sekitar blok yang dipercayai dibuang dari tingkat atas.

Seorang penduduk, Abdul Kadir Hamid, 69, berkata, masalah sampah tersebut sudah lama berlaku dan keadaan semakin teruk apabila tiada tong sampah disediakan di setiap tingkat flat itu sejak empat tahun lalu.

Katanya, penduduk yang tidak bertanggungjawab akan mengambil jalan mudah dengan meletakkan sampah mereka di tepi lif dan bangunan serta di bawah tangga walaupun rumah sampah disediakan tidak jauh dari situ.

"Masalah di sini adalah sikap segelintir penduduk yang tidak tahu menjaga kebersihan. Saya yang kurang upaya dan memakai kaki palsu pun boleh membuang sampah di rumah sampah, mengapa mereka yang sihat tubuh badan tidak boleh buat begitu.

"Saya berharap agar penduduk dapat menjaga kebersihan kawasan ini kerana ia merupakan tempat tinggal kita. Jika kawasan rumah bersih maka kita akan lebih sihat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Baili Alwi, 65, berkata, sikap penduduk itu menunjukkan mereka tidak tahu cara hidup bermasyarakat dan menghormati penduduk yang lain.

"Tahap kebersihan di sini masih terlalu rendah walaupun tahap pendidikan masyarakat semakin tinggi.

"Sikap suka membuang sampah di merata-rata tempat ini adalah lambang peribadi mereka.

"Sudah banyak usaha yang dilakukan bagi mengubah sikap ini, namun perangai mereka masih tidak berubah," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja pembersihan yang dikenali sebagai Yati berkata, sampah yang ditinggalkan di tepi lif dan bawah tangga akan bertambah semasa cuti umum kerana tiada pekerja yang mengutipnya.

"Kadang-kadang ada juga penduduk yang meninggalkan sampah yang sudah berulat di tangga. Bila keadaan ini berlaku, orang akan salahkan kami kononnya tidak buat kerja," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment