My Add

Tuesday 14 February 2012

TUDM buat penerbangan ihsan selamatkan bayi 10 hari

ANGGOTA TUDM membawa Adlie Fairuz keluar dari pesawat Charlie C-130 pada penerbangan ihsan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 13 Februari, 2012: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penerbangan ihsan menggunakan pesawat Charlie C-130 dalam usaha menyelamat nyawa seorang bayi berusia 10 hari yang mengalami jangkitan kuman pada darah.

Pegawai Pediatrik Hospital Labuan, Dr. Satzalina Safar berkata, Adlie Fairuz yang lahir pada 4 Februari lalu terpaksa diterbangkan dari hospital tersebut ke sini bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Katanya, bayi tersebut yang diterbangkan bersama ibunya, Rahima Ahmad, mula mengalami jangkitan kuman sejak semalam, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan diletakkan dalam inkubator.

"Bayi yang berada dalam keadaan stabil telah diterbangkan dari Labuan pada pukul 8.10 pagi dan tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setengah jam kemudiannya," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, Adlie mungkin akan ditahan lama di wad bagi membolehkan rawatan lanjut dilakukan ekoran bayi tersebut juga lahir tidak cukup bulan.

Jelas beliau, Adlie perlu mencapai berat sekurang-kurangnya 1.7 kilogram dan sihat sepenuhnya daripada jangkitan kuman tersebut, sebelum dibenarkan keluar wad.

Dalam pada itu, Rahima mengucapkan ribuan terima kasih kepada TUDM kerana melakukan penerbangan ihsan membawa dia dan bayinya ke Kota Kinabalu.

Katanya, berat anak sulungnya itu menurun sebanyak 200 gram kepada 900 gram Khamis lalu.

"Dalam keadaan terdesak ini, TUDM sudi menghulurkan bantuan. Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment