My Add

Monday 20 February 2012

COOP 1Malaysia kini di Sarawak

ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) menunjukkan produk COOP 1Malaysia bersama jemputan lain pada majlis Pelancaran Pusat Pengedaran Koperasi Nilam Kuching Berhad dan Produk COOP 1Malaysia bagi Zon Sarawak di Kuching, semalam.

Oleh SOPI SAMAILE

KUCHING, AHAD, 19 Februari, 2012: Rakyat di negeri ini bakal menikmati barang keperluan harian pada harga 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga barang berjenama dengan pelancaran Produk COOP 1Malaysia peringkat Sarawak di Jalan Bako di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat 37 jenis barangan COOP 1Malaysia ditawarkan ketika ini sebelum ditingkatkan kepada 67 barangan pada penghujung Februari dan 100 barangan akhir Mac nanti.

Menurutnya, bagi mengekalkan kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap kualiti produk COOP 1Malaysia, sumber bahan dan bekalan untuk produk tersebut perlu memenuhi syarat pensijilan dan piawaian badan berwajib yang ditetapkan.

''Perlu ditegaskan di sini bahawa kementerian tidak akan berkompromi sama sekali dengan kualiti produk yang ditawarkan kepada pengguna, meskipun niat asalnya adalah murni iaitu untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat.

''Di bawah label produk COOP 1Malaysia, produk-produk akan dilabelkan dengan lebih menarik, serta penarafan kualiti yang setanding dengan barangan berjenama terkenal tempatan," katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Pengedaran Koperasi Nilam Kuching Berhad dan Produk COOP 1Malaysia bagi Zon Sarawak di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan produk COOP 1Malaysia itu kerajaan buat pertama kalinya dapat menyamakan harga barang tersebut di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan ia boleh dikenali sebagai 'Produk 1Malaysia, 1Harga'.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemasaran produk COOP 1Malaysia itu dijangka tidak menjejaskan peniaga-peniaga lain memandangkan kementerian menggalakkan mereka turut bekerjasama dengan membeli produk berkenaan dari pusat-pusat pengedaran yang dilantik.

Ini kerana, produk COOP 1Malaysia dihasilkan untuk kepentingan pengguna serta peniaga dan kementerian tidak mahu ia menjadi satu saingan kepada peniaga-peniaga lain.

''Jadi, bagi mengelak sebarang persaingan, maka para peniaga tersebut perlu bersama kementerian untuk menjual produk COOP 1Malaysia ini.

''Pada masa akan datang, saya juga mengharapkan supaya barangan COOP 1Malaysia ini boleh didapati di kiosk koperasi di institusi pengajian tinggi (IPT), koperasi kariah masjid, sekolah dan lebih baik lagi jika produk itu boleh menembusi di pasar raya besar seperti Tesco atau Giant," katanya.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment