My Add

Monday 20 February 2012

Guna air lombong bahayakan pengguna

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Februari, 2012: Kajian secara mendalam dan menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum air dari bekas tinggalan lombong di negeri ini dijadikan sumber untuk menampung kekurangan air.

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, kandungan air lombong mempunyai banyak logam berat dan ia boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan pengguna.

"Sistem tubuh seperti buah pinggang boleh mengalami masalah jika kandungan logam berat di dalam air tersebut tidak dirawat secara betul sebelum disalur kepada pengguna.

"Jika jumlah air lombong semakin berkurangan, kandungan bahan logam berat di dalam air tersebut akan bertambah dan ia pasti akan membahayakan pengguna.

"Ketika musim hujan, mungkin tidak timbul masalah tetapi apa akan berlaku jika musim kemarau dan hujan tidak kerap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas langkah Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu menggunakan air mentah daripada bekas lombong untuk menampung kekurangan air di Lembah Klang seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, kelmarin.

Sementara itu, Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ibrahim Komoo berkata, sebelum langkah itu diambil, kualiti air tersebut harus dipastikan menepati tahap piawaian yang selamat untuk digunakan.

Beliau turut menyokong pendapat bahawa kajian terperinci harus dilakukan di semua lokasi yang bakal dijadikan sebagai punca air.

"Bagi memastikan kualiti air terjamin selamat digunakan, kajian di setiap peringkat yang berbeza perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Jika terbukti air iut selamat untuk digunakan, maka tiada masalah tetapi jika menunjukkan sebaliknya, diharap kerajaan negeri tidak mempertimbangkannya lagi," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment