My Add

Sunday 19 February 2012

Desak Wan Azizah nyata pendirian

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didesak menyatakan pendirian terhadap kata dua yang diberi oleh Majlis Syura Ulama Pas kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Dr. Wan Azizah perlu memberi jawapan sama ada bersetuju atau membantah gesaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Anwar menarik balik kenyataan menyokong sebarang usaha menjaga keselamatan Israel dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.

"Jika tidak setuju, PKR sendiri sepatutnya menyaman WSJ kerana kenyataan yang dibuat oleh Anwar itu seolah-olah menggambarkan pendirian parti tersebut dalam isu membabitkan konflik di Palestin.

"Namun, sehingga kini Dr. Wan Azizah dilihat tidak berani bersuara menyebabkan kita tertanya-tanya apa peranan beliau sebagai Presiden PKR," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan ketika ditanya tentang krisis yang melanda Pas, Mashitah berkata, parti berkenaan perlu memikirkan dengan serius desakan ahlinya untuk meninggalkan pakatan pembangkang.

Jelasnya, perbezaan pendapat dalam beberapa isu kebelakangan ini menunjukkan semangat permuafakatan sebenarnya tidak wujud dalam pakatan rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP.

"Kalau duduk dalam 'pakatan' tetapi tidak boleh berpakat, lebih baik Pas keluar sahaja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment